AM

PEMERIKSAAN KESIHATAN TERMASUK UJIAN HIV PELAJAR BAHARU SUDAH DILAKSANAKAN

14/07/2024 06:25 PM

KANGAR, 14 Julai (Bernama) -- Keperluan pemeriksaan kesihatan termasuk ujian HIV terhadap pelajar baharu untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan sudah dilaksanakan dan ia bukan sesuatu yang baharu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata proses pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan laporan perubatan pelajar perlu dilakukan sebelum mereka mendaftar masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

“Itu telah lama dilakukan cuma mungkin kali ini diuar-uarkan disebabkan perbahasan di peringkat Parlimen yang bertanya dari segi jumlah bilangan (kes HIV dalam kalangan pelajar) dan sebagainya.

“Proses pemeriksaan kesihatan itu dibuat dari segi perubatan, jadi ia bukanlah sesuatu yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini hari ini.

Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ditanya mengenai laporan portal berita berkaitan gesaan agar universiti mewajibkan ujian HIV terhadap pelajar baharu susulan peningkatan kes melibatkan golongan itu yang berusia 18 hingga 25 tahun.

Menerusi laporan itu, Presiden Interim Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya Nazirah Abdullah dipetik sebagai berkata pada masa ini penularan kes HIV gagal ditangani di peringkat kampus kerana kekurangan usaha merangka dasar dan pelaksanaan program kesedaran kepada pelajar.

Gesaan itu susulan laporan media pada 4 Julai lepas berhubung pendedahan Zambry dalam Parlimen bahawa terdapat peningkatan membimbangkan kes HIV dalam kalangan pelajar berumur 18 hingga 25 tahun di IPT negara ini.

Zambry dilaporkan sebagai berkata data daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan trend kes HIV yang beralun tetapi secara keseluruhan meningkat dari 2020 hingga 2023, dengan seramai 214 pelajar IPT awam dan swasta dilaporkan menghidap HIV pada 2020.

Bagaimanapun, angka itu menurun kepada 186 kes pada 2021 tetapi meningkat kepada 221 kes pada 2022, seterusnya 244 kes tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan