AM

HRD CORP TARIK SEMULA SURAT TUNTUTAN TERHADAP THE EDGE - SIM

17/07/2024 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menarik semula surat tuntutan yang diserahkan kepada The Edge berhubung pemberitaan organisasi media itu mengenai laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membabitkan agensi tersebut.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata beliau telah mengarahkan HRD Corp untuk menarik semula saman itu selepas mendapat maklumat tentang perkara berkenaan.

“Saya tidak setuju sama sekali tindakan menyaman media sebab saya percaya dengan tegas kebebasan media di negara ini, ini prinsip saya sebelum saya menjadi kerajaan lagi,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

The Edge bertarikh 16 Julai 2024 mengeluarkan artikel bertajuk "HRD Corp threatens to sue The Edge over reporting of PAC, AG reports" (HRD Corps ugut saman The Edge kerana menyiarkan berita mengenai laporan PAC, Ketua Audit Negara). 

Berdasarkan laporan media berkenaan, suatu surat tuntutan dikeluarkan peguam cara HRD Corp, Tetuan Amrit & Company dan menerusi surat tersebut, HRD Corp telah menuntut The Edge antara lain, mengeluarkan dan memadam beberapa rencana disiarkan The Edge dalam laman sesawang mereka berhubung laporan PAC dan laporan Ketua Audit Negara.

HRD Corp juga menuntut supaya suatu permohonan maaf disiarkan dan pampasan dibayar kepada pihak mereka.

Terdahulu dalam sidang media berasingan, PAC menggesa HRD Corp supaya menarik semula surat tuntutan yang diserahkan kepada The Edge atau mana-mana syarikat media berhubung laporan jawatankuasa itu serta Laporan Ketua Audit Negara.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata jawatankuasa itu mengutuk tindakan HRD Corp dan menganggap tindakan itu sebagai percubaan memberi tekanan kepada media untuk tidak menyiarkan laporan PAC berhubung syarikat itu, serta dilihat sebagai suatu usaha melemahkan atau menjejaskan kredibiliti PAC.

“Pengurusan tertinggi HRD Corp perlu diingatkan bahawa PAC ditubuhkan pada 1959 dan semua laporan (PAC) tidak pernah dipertikaikan kerana ia adalah berdasarkan kenyataan saksi yang dipanggil ketika prosiding PAC.

"Tidak pernah berlaku sebelum ini apabila PAC dan Ketua Audit Negara mengeluarkan laporan, kementerian atau jabatan mengeluarkan surat saman dan ugutan undang-undang kepada mana-mana pihak yang membincang atau mengulas kedua-dua laporan itu, terutama sekali pihak media," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan