EKONOMI

MITI SEDIA SOKONG PELAKSANAAN STRATEGI PELABURAN HIJAU, TARIK PELABURAN KE MALAYSIA

17/07/2024 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersedia menyokong pelaksanaan strategi pelaburan hijau bagi menarik pelaburan hijau ke Malaysia dan memangkin pembangunan sosioekonomi yang lestari.

Dalam kenyataan hari ini katanya pelaksanaan strategi itu akan dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof manakala MITI merupakan kementerian pelaksana utama bagi pelaburan.

“Kementerian selaku sekretariat akan memfokus kepada usaha menarik pelaburan hijau bagi membantu merealisasikan sasaran karbon sifar bersih seawal 2050, seperti yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

“Pelaksanaan strategi pelaburan hijau untuk menarik pelaburan hijau ke Malaysia akan berpaksikan kepada tujuh pelan utama di bawah NIMP 2030 dan NETR,” kata MITI dalam kenyataan mengenai mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 5 Tahun 2024 yang diadakan pada 15 Julai. 

Menurut kenyataan itu, strategi berkenaan berpaksikan tujuh teras utama rendah karbon di bawah pelan NETR dan NIMP 2030, iaitu kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, biotenaga hidrogen, mobiliti hijau (darat, laut, penerbangan), pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan ekonomi kitaran.

Dalam kenyataan sama, menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelaksanaan strategi pelaburan hijau itu bakal memperlihatkan pelaksanaan peralihan tenaga dan pelaburan hijau secara lebih berkesan, teratur dan sistematik untuk Malaysia.

“Antara sasaran utama adalah untuk menarik hampir lapan kali ganda jumlah pelaburan ke Malaysia bagi mencapai objektif NIMP 2030 dan NETR, dan memastikan pelaburan dalam tujuh teras utama rendah karbon.

“(Ia juga bagi) memanfaatkan pelaburan langsung asing dalam sektor teknologi hijau dan menambah baik ekosistem pelaburan hijau,” katanya.

Beliau berkata kesemua itu mampu merangsang pertumbuhan sosioekonomi dalam industri hijau serta mewujudkan pekerjaan baharu dan pembangunan kemahiran dalam industri hijau.

“Ini bakal meningkatkan imej dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau pilihan serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam sektor teknologi hijau,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan