AM

ISU SALAH GUNA KUASA: TIADA KOMPROMI TERHADAP ANGGOTA PBT TERLIBAT - DR ZALIHA

17/07/2024 04:55 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa menegaskan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai mahupun anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kementeriannya yang terlibat dalam salah guna kuasa melindungi warga asing.

Beliau berkata terserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang melanggar peraturan atau terlibat dengan aktiviti yang berunsur rasuah dan sebagainya.

"Kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa dan jika benar berlaku apa-apa dan ada penemuan tertentu.

"Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak, siapa sahaja kita akan ambil tindakan. Kita juga ada jawatankuasa atau unit khusus untuk melihat dari sudut disiplin dan sebagainya (sekiranya ada kakitangan) melanggar tata kelola dan tadbir urus yang baik," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukan Malaysia (SUKMA), di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa SPRM akan melancarkan operasi besar-besaran bagi menahan anggota penguat kuasa di PBT yang melindungi premis perniagaan warga asing.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan akan tetap meneruskan Projek Sungai Nadi Kehidupan atau ‘River of Life’ (RoL) yang kini hanya berbaki 19 peratus untuk disiapkan.

“Sebenarnya saya sudah jawab perkara ini di Parlimen, kita akan meneruskannya sebab hanya tinggal 19 peratus sahaja lagi dan seperti yang saya nyatakan, 81 peratus projek ini berjalan dengan baik.

“Bagi saya ini satu kerugian kalau kita tidak meneruskannya sebab kita tahu kalau projek RoL ini siap, ia akan memberikan pulangan yang besar kepada kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan projek pemuliharaan sungai dalam kawasan bandar yang paling kompleks dengan kos tertinggi pernah dilaksanakan di Malaysia iaitu RM4.363 bilion itu dijangka tidak berjaya disiapkan mengikut tempoh ditetapkan tahun ini walaupun RM3.915 bilion telah dibelanjakan.

Mengikut laporan itu, sehingga Julai tahun lepas, lapan projek di bawah RoL masih dalam peringkat pelaksanaan dengan kemajuan di tapak antara 21 hingga 97.3 peratus, manakala kontraktor penyiap bagi dua projek yang telah ditamatkan kontrak masih belum dilantik, sementara 12 projek lagi belum dimulakan.

Analisis audit turut mendapati hanya 79.4 peratus kerja pengindahan sungai disiapkan dan 50 (16.9 peratus) daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaik taraf.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan