EKONOMI

ADB SEMAK SEMULA UNJURAN PERTUMBUHAN 2024 BAGI NEGARA-NEGARA MEMBANGUN ASIA KEPADA 5.0 PERATUS

17/07/2024 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi bagi negara-negara membangun Asia kepada 5.0 peratus daripada unjuran sebelum ini sebanyak 4.9 peratus pada April dan mengekalkan unjuran pertumbuhan 2025 pada 4.9 peratus.

Dalam Tinjauan Pembangunan Asia untuk Julai 2024 yang dikeluarkan hari ini, ADB berkata permintaan domestik berdaya tahan, dengan eksport dan pembuatan yang meningkat, akan menyokong pertumbuhan tahun ini.

Unjuran pertumbuhan 2024 untuk rantau ini dinaikkan sejajar dengan unjuran untuk Kaukasus, Asia Tengah dan Asia Timur, katanya.

ADB berkata inflasi keseluruhan di negara-negara membangun Asia diunjurkan merosot kepada 2.9 peratus pada tahun ini daripada 3.3 peratus pada tahun lepas dan stabil pada 3.0 peratus pada 2025.

“Kadar inflasi terus mencatatkan sederhana kepada paras sebelum pandemik, sebahagian besarnya berikutan impak daripada dasar monetari yang ketat dan harga makanan global yang turun.

“Sementara itu, unjuran pertumbuhan kekal tidak berubah dengan risiko berterusan, termasuk ketegangan geopolitik yang meningkat, pemecahan perdagangan dan ketidaktentuan berkaitan pilihan raya di negara-negara utama,” katanya.

Bagi Asia Tenggara, unjuran pertumbuhan dikekalkan pada 4.6 peratus pada tahun ini dan 4.7 peratus pada 2025 manakala bagi Pasifik, ia kekal pada 3.3 peratus pada 2024 dan 4.0 peratus pada 2025.

Bagi Malaysia, ADB mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus pada 2024 dan 4.6 peratus pada 2025.

Katanya KDNK Malaysia berkembang 4.2 peratus pada suku pertama 2024, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh (+4.7 peratus) dan penambahbaikan yang berterusan dalam pekerjaan dan upah.

Katanya pelaburan turut mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, disokong oleh pelaburan infrastruktur yang baik (11.9 peratus) dan perbelanjaan untuk jentera dan peralatan (8.9 peratus).

Ketibaan pelancong terus mencatatkan peningkatan semula (32 peratus), di samping pertumbuhan dalam penginapan, pengangkutan, hartanah dan pembinaan.

Katanya eksport pembuatan mencatatkan pemulihan sederhana (2.4 peratus), disokong oleh pertumbuhan eksport yang kukuh daripada gas asli cecair (4.2 peratus) dan produk petroleum mentah (13.3 peratus).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan