DUNIA

WANITA RACUN LIMA ORANG SEBELUM BUNUH DIRI DENGAN SIANIDA - POLIS BANGKOK

17/07/2024 07:20 PM

BANGKOK, 17 Julai (Bernama-dpa) -- Seorang wanita berusia 56 tahun dipercayai meracuni lima pelancong Vietnam dengan sianida yang dihidangkan dalam cawan kemudian meminum racun itu sendiri di sebuah hotel mewah di Bangkok, menurut polis pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mayat tiga lelaki dan tiga wanita ditemukan pada petang Selasa oleh kakitangan di sebuah suite di Hotel Grand Hyatt Erawan di Bangkok. Pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang tanda-tanda kekerasan dan rompakan.

Polis berkata dalam satu sidang media pada Rabu bahawa mereka percaya seorang daripada enam pelancong, dua daripadanya juga memegang pasport Amerika Syarikat adalah dalang di sebalik tragedi itu.

"Kami mengesahkan bahawa seorang daripada enam yang maut menyebabkan kejadian ini dengan menggunakan sianida.

"Kami yakin seorang daripada mereka melakukan jenayah ini," kata Biro Polis Metropolitan Bangkok, Noppasil Poonsawas.

Keluarga mangsa mengesahkan bahawa terdapat pertikaian mengenai wang.

Polis menemui sisa racun dalam cawan yang ditemui di tempat kejadian dan anggota penyiasat juga mendapati pintu bilik dikunci dari dalam.

Kes ini menarik perhatian ramai di tengah-tengah kebimbangan bahawa imej buruk boleh merosakkan sektor pelancongan penting Thailand, yang baharu sahaja pulih selepas pandemik COVID-19.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan