JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH RAYUAN KEKAL KEPUTUSAN LUCUT HAK ASET MILIK BEKAS EXCO JOHOR DAN LAPAN LAGI

17/07/2024 07:41 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan pendakwaan melucut hak aset bernilai lebih RM3.2 juta milik bekas exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi dan lapan lagi.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Abdul Latif dan lapan yang lain atas alasan rayuan mereka tidak mempunyai merit.

Lapan perayu lain ialah anak lelaki Abdul Latif iaitu Mohd Fauzan Hatim dan menantu perempuannya, dua syarikat iaitu Wash N Chill Enterprise dan Alaf Pentawaris Sdn Bhd, perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, Mazita Mahmod serta Hartini Jalani.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Ahmad Zaidi berkata perayu gagal membuktikan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam penemuannya berhubung isu yang dibangkitkan oleh peguam mereka, oleh itu beliau mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 27 Mei 2019, Mahkamh Sesyen telah menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak aset terbabit dan mengarahkan agar ia dipulangkan kepada pemiliknya.

Pada 19 Dis 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan mengarahkan aset milik perayu dilucut hak selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan bahawa ia diperoleh daripada hasil haram.

Aset itu termasuk 20 kenderaan mewah seperti Mercedes Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Proversport, Nissan Skyline, Toyota Vellfire, Honda HRV dan motosikal Harley Davidson motorcycle serta 36 utas jam tangan berjenama, 32 unit beg tangan berjenama, 14 unit barang kemas serta wang tunai dalam mata wang Malaysia, Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.

Abdul Latif, anak lelakinya dan Amir Shariffudin dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Johor pada 2022 daripada pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun lepas.

Pendakwaan telah menarik balik rayuannya terhadap Abdul Latif namun meneruskan kes bagi Mohd Fauzan dan Amir Shariffudin. 

Pada prosiding hari ini, kesemua perayu diwakili oleh peguam Siti Sarah Khalil manakala Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol hadir bagi pihak pendakwaan.

Terdahulu, panel sama menolak rayuan pendakwaan untuk melucut hak aset daripada enam responden termasuk adik perempuan Low Taek Jho iaitu Low May Lin yang didakwa diperoleh daripada dana 1Malaysia Development Bhd (IMDB).

Ahmad Zaidi berkata tiada bukti dalam jejak wang kes itu yang boleh dikaitkan dengan aset yang dirampas dalam kes ini.

Pihak pendakwaan memohon melucut hak aset daripada Casa Rialto Sdn Bhd, Low, STH Motor Sdn Bhd, Sempadan Seloka Sdn Bhd, Penas Health Care Sdn Bhd dan Ooi Chin Choo.

Kerajaan telah memohon untuk melucut hak aset milik Casa Rialto iaitu sebuah ofis yang terletak di Pusat UOA di Jalan Pinang, Kuala Lumpur serta sebuah kondominium milik Low di 3 Kia Peng, Kuala Lumpur, dua Toyota Alphard milik STH Motor Sdn Bhd, wang sebanyak RM211, 607. 60 serta faedah daripada akaun semsa milik Sempadan Seloka.

Kerajaan juga ingin melucut hak wang berjumlah RM168,758.65 dan faedah daripada akaun semasa Penas Health Care serta wang tunai RM125, 461.95 dan 26 botol minuman beralkohol daripada Ooi.

Pada Ogos 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pelucuthakan kerajaan.

Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai dan P. Sarulatha mewakili kerajaan manakala peguam M. Puravelan dan M. Moganasundari mewakili Casa Rialto dan Low, peguam Phang Soon Mun dan Darren Ee Kin Chung bagi STH Motor, Tan Yong Fun bagi Sempadan Seloka serta Penas Health Care manakala Lavinia Kumaraendran bagi Ooi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan