AM

LULUS DUA RUU BERKAITAN PELABUHAN BINTULU, TERJEMAH SEMANGAT MA63 - FADILLAH

17/07/2024 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Dua rang undang-undang (RUU) berkaitan Pelabuhan Bintulu yang diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Beliau berkata kelulusan RUU Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 dan RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 juga selaras dengan Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961 bahawa semua Pelabuhan di Sarawak adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu.

"Ini merupakan sejarah yang membuktikan kerjasama erat kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan di bawah semangat MA63 yang akhirnya diluluskan dengan sokongan Ahli-Ahli Parlimen," katanya dalam sidang media di Parlimen.

Fadillah, yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak, merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta semua yang terlibat menjayakan rundingan itu.

Susulan itu, beliau berkata tiga jawatankuasa akan ditubuh bagi meneruskan proses rundingan iaitu Jawatankuasa Teknikal peringkat pegawai, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Khas.

Fadillah berkata jawatankuasa itu akan memperinci segala rundingan berkaitan teknikal, kewangan, sumber manusia dan pengurusan aset yang dijangka dimuktamad tahun ini.

Beliau juga berkata operasi Pelabuhan Bintulu akan berjalan seperti biasa mengikut syarikat yang telah dilantik sebelum sebarang perkara dimuktamad kelak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan