EKONOMI

MEKANISME PENYASARAN SUBSIDI RON95 GUNA DATA PADU SEPENUHNYA - KEMENTERIAN EKONOMI

17/07/2024 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Mekanisme penyasaran subsidi RON95 akan menggunakan sepenuhnya data Pangkalan Data Utama (PADU) dan penentuan kumpulan sasar ditentukan berdasarkan pendapatan boleh guna bersih isi rumah, menurut Kementerian Ekonomi.

Menurut kementerian itu, sistem PADU adalah repositori data individu serta isi rumah warganegara dan pemastautin tetap yang berada di Malaysia.

Setakat 31 Mac 2024, seramai 10.55 juta individu telah mengemas kini maklumat dalam sistem PADU.

“Ketika ini, sistem berkenaan berada dalam Fasa 2, penganalisisan data yang melibatkan proses penentuan isi rumah, perbelanjaan asas kehidupan wajar dan pendapatan boleh guna bersih,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Kenyataan Kementerian Ekonomi berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai jumlah pendaftaran penuh PADU dan mengapa data PADU tidak digunakan bagi permohonan subsidi bersasar diesel.

Selain itu, kementerian berkata langkah penyasaran semula subsidi minyak dimulakan dengan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI).

Penyasaran subsidi diesel melalui BUDI MADANI telah menggunakan semua pangkalan data sedia ada Kerajaan yang berkaitan.

Dalam hal ini, maklumat daripada BUDI MADANI akan dikongsi dan diintegrasi ke dalam PADU dari semasa ke semasa bagi menambah baik data tersedia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan