AM

KPM LAKSANA PROGRAM BERSAMA SAINTIS TARIK MINAT PELAJAR DALAM STEM

18/07/2024 09:48 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan segera program bersama saintis di 100 sekolah seluruh negara, bagi meningkatkan minat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menterinya Fadhlina Sidek berkata program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Beliau berkata KPM bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi dan MOSTI telah mengorak langkah menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM, yang memberi fokus khusus kepada hala tuju STEM bermula dari peringkat sekolah sehingga ke pendidikan tinggi.

“Pelbagai inisiatif pembudayaan, aktiviti serta program pembangunan STEM sedang giat berjalan di sekolah, dengan pelaksanaannya merentas kementerian dan agensi selain melibatkan kerjasama rakan strategik korporat dan komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fadhlina berkata sinergi antara kementerian dan semua pihak berkepentingan dipergiatkan, bagi meningkatkan minat dan penyertaan murid dalam STEM seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Jelajah Bioekonomi Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini semalam, mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menyenaraikan 100 saintis bioteknologi untuk mengadakan program bagi menarik minat murid dalam bidang STEM di 100 sekolah.

Menerusi penganjuran program itu, Perdana Menteri mahu pihak berkaitan merangka ikhtiar baharu khususnya terkait bagaimana hendak menggarap dan memperkasa dalam bidang berkenaan, yang belum berkembang dalam kalangan pemikiran rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan