EKONOMI

DIO REKOD RM127 BLN PELABURAN ASING DALAM PROJEK BERKAITAN DIGITAL - MITI

18/07/2024 10:58 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Pejabat Pelaburan Digital (DIO) merekodkan RM127 billiion pelaburan asing menerusi projek berkaitan digital yang diluluskan dari tempoh penubuhan DIO pada 2021 hingga Mac 2024.

Sebanyak RM34.9 bilion merupakan pelaburan domestik dan menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan di bawah Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan bernilai RM161.97 bilion.

“Pelaburan yang diluluskan ini adalah terutamanya dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar dan kecerdasan buatan,” kata MITI dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Rabu.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai manfaat pelaburan yang tergolong dalam Foreign Direct Investment (FDI) negara melalui saluran sektor digital.

Pelaburan-pelaburan sektor digital yang diraih akan membawa manfaat sosio-ekonomi seperti sejumlah 49,108 peluang pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi bakal dicipta terutamanya kepakaran berkaitan data dan teknologi maklumat dan bakat tempatan yang mahir dalam teknologi digital.

Kerajaan sememangnya menekankan pelaburan infrastruktur digital yang lebih terangkum di peringkat tempatan dan serantau, ketersediaan rangkaian internet berkelajuan tinggi dan penyelesaian teknologi yang menjana data dalam latensi yang rendah.

Kesan limpahan ekonomi utama daripada pelaburan digital berstrategik ini adalah seperti mempercepatkan peralihan digital bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana termasuk syarikat pemula, yang membentuk 97 peratus daripada pertubuhan perniagaan, menyumbang 48 peratus sumber pekerjaan dan 38 peratus kepada pertumbuhan ekonomi.

Dalam pada itu, kerajaan menyusun semula kluster dan rantaian nilai industri-industri yang didayakan ekosistem teknologi digital, ke arah pewujudan 3,000 kilang pintar pada 2030 seperti yang digariskan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu serta peluang capaian dan penggunaan teknologi digital dan merancakkan revolusi perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi.

Kerajaan akan terus melaksanakan usaha-usaha menarik pelaburan digital yang strategik, dalam memastikan negara meraih manfaat ekonomi dan sosioekonomi yang mampan, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan