AM

KPDN PERAK SERBU KEDAI JUAL MINYAK PAKET MELEBIHI HARGA JUALAN

18/07/2024 12:46 PM

IPOH, 18 Julai (Bernama) -- Tindakan seorang peniaga kedai runcit menjual minyak masak paket bersubsidi dengan harga RM3 sebungkus berbanding harga asal RM2.50 mengundang padah apabila kedainya diserbu pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak. 

Perbuatan peniaga di Taman Indah Jaya, Teluk Intan itu dikesan oleh penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Teluk Intan yang melakukan uji beli melalui Ops Samar, semalam. 

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada kira-kira 10.50 pagi itu hasil aduan orang ramai mengenai peniaga yang menjual barangan kawalan melebihi harga ditetapkan. 

"Ketika serbuan dilakukan seorang daripada penguat kuasa menyamar sebagai pelanggan berpakaian preman membeli minyak masak itu bertanyakan harga kepada anak pemilik premis dan menyatakan sepaket dijual dengan harga RM3.

"Sepasukan penguat kuasa kemudian menyerbu premis dan mendapati harga dipamerkan RM2.50 namun harga yang dikenakan RM3," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 dikeluarkan kepada pemilik premis serta sebanyak 55 kilogram minyak masak paket yang ditemukan disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM165. 

Tindakan diambil mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi individu, manakala bagi pertubuhan atau perbadanan, denda maksimum ialah RM2 juta.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan