DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI TETAPI RENDAH KEMUDIANNYA

18/07/2024 11:01 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi tetapi rendah kemudiannya berikutan sentimen dagangan yang berhati-hati susulan prestasi Wall Street semalaman yang negatif.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.71 mata kepada 1,632.83 daripada 1,633.54 pada Rabu.  

Indeks dibuka tinggi 0.16 mata kepada 1,633.70. 

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 373 berbanding 143, dengan 337 kaunter tidak berubah, 1,595 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 313.28 juta unit bernilai RM179.43 juta.

Wall Street ditutup bercampur-campur pada Rabu berikutan saham teknologi tidak stabil disebabkan langkah terbaharu oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mengekang eksport cip ke China selain permintaan bekas Presiden AS Donald Trump untuk wang perlindungan daripada Taiwan.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata walaupun firma broker menjangka momentum kenaikan akan terus dicatatkan hari ini, belian mungkin rendah disebabkan ketegangan perdagangan yang meningkat antara AS dan China.

“Bagaimanapun, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,630-1,640 hari ini.

“Sementara itu, harga minyak mentah meningkat dengan minyak mentah Brent melepasi US$85 setong berikutan inventori yang rendah disebabkan pengeluaran stok yang tinggi sepanjang dua minggu lepas,” katanya.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing meningkat empat sen kepada RM10.12 dan RM4.21, CIMB menambah satu sen kepada RM7.15, Hong Leong Bank naik 10 sen kepada RM19.14, IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.35, Tenaga Nasional merosot enam sen kepada RM14.44 dan Press Metal susut 18 sen kepada RM5.81. 

Dalam kalangan kaunter paling aktif, Hubline dan Ekovest, masing-masing naik setengah sen kepada 8.5 sen dan 56 sen, Fajarbaru meningkat 1.5 sen kepada 55.5 sen dan WCT tidak berubah pada RM1.23.

Sementara itu, MYEG berkurangan dua sen kepada RM1.03 serta Aimflex dan Metronic Global, masing-masing susut setengah sen kepada 20 sen dan dua sen.

Di peringkat indeks, Indeks FBM Emas merosot 31.52 mata kepada 12,646.89, Indeks FBMT 100 susut 26.70 mata kepada 12,218.96, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 66.30 mata kepada 13,020.62, Indeks FBM 70 jatuh 119.14 mata kepada 18,859.65 dan Indeks FBM ACE susut 8.69 mata kepada 5,993.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 56.63 mata kepada 17,991.80, Indeks Tenaga menambah 0.13 mata kepada 972.51, Indeks Perladangan susut 9.55 mata kepada 7,065.16 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.42 mata kepada 199.37.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan