JENAYAH & MAHKAMAH

WANITA VIETNAM DITAHAN GUNA PASPORT JERMAN DI LTAPP

18/07/2024 02:33 PM

BALIK PULAU, 18 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang wanita warga Vietnam yang menggunakan identiti palsu dan pasport Jerman milik orang lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata wanita berusia 33 tahun itu ditahan semasa pemeriksaan sebelum suspek menaiki pesawat ke Amerika Syarikat kira-kira 10.30 pagi.

"Berdasarkan siasatan awal, wanita itu datang (melancong) ke Pulau Pinang, suspek kemudian menggunakan pasport Jerman milik orang lain kerana mahu bercuti ke luar negara dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Setakat ini tiada unsur jenayah atau kegiatan lain oleh suspek bagi tujuan menggunakan pasport Jerman itu dan wanita berkenaan juga bersendiran ketika ditahan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata wanita itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen  6(1) Akta Imigresen 1959/1963.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Kamarul Rizal berkata polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun kerana memperdaya mangsa dengan melakukan penipuan pembelian kasut sehingga mangsa kerugian RM16,748, pada Selasa.

Beliau berkata lelaki itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya di pekarangan Balai Polis Bayan Lepas di sini ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan. 

"Berdasarkan siasatan, mangsa membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank milik lelaki itu membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM16,748 namun tidak mendapat kasut yang ditempah," katanya.

Lelaki itu kini direman dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan