AM

KES KENCING TIKUS DI MELAKA MENINGKAT - EXCO

18/07/2024 04:34 PM

MELAKA, 18 Julai (Bernama) -- Kes leptospirosis atau kencing tikus di Melaka mencatatkan peningkatan kepada 80 kes dalam tempoh 1 Jan hingga 6 Julai lepas berbanding 28 kes sepanjang tahun lepas.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh yang menjalankan tugas-tugas Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan berkata peningkatan itu ekoran penularan wabak berkenaan di tiga pusat rekreasi di Melaka, namun tiada kematian direkodkan.

Beliau berkata ketiga-tiga destinasi pelancongan itu terletak di daerah Jasin iaitu Kolam Air Panas Jasin, Taman Eko Rimba serta Taman Tiga Budaya namun telah dibuka semula selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan.

"Leptospirosis merupakan salah satu penyakit zoonosis selain JE (Japanese Encephalitis) serta rabies dan penyakit kencing tikus antara kes yang agak tinggi dilaporkan di negara ini termasuk di Melaka.

"Berdasarkan data pada tahun ini, kes banyak berlaku di pusat rekreasi disebabkan penularan wabak berkenaan dalam kalangan pengunjung tetapi langkah awal seperti pembersihan di lokasi kejadian telah dilakukan dengan pemantauan Jabatan Kesihatan dan dapat dikawal dengan baik," katanya kepada pemberita di Zoo Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup sambutan Hari Zoonosis Sedunia Peringkat Negeri Melaka yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Melaka Dr Ruzita Mustaffa.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Melaka akan menganjurkan kursus jangka pendek berkaitan pengurusan penyakit zoonosis kepada pekerja pusat rekreasi yang menampilkan haiwan sebagai tarikan, sebagai langkah awal mengekang penularan wabak berkenaan.

Kursus tersebut disasarkan untuk mereka yang berisiko dan terlibat secara langsung dalam pengurusan haiwan antaranya pekerja Zoo Melaka, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Bahagian Kesihatan Jabatan Veterinar

Beliau berkata lebih banyak tempat mencuci tangan atau cecair pembasmi kuman khususnya di pusat rekreasi atau tumpuan ramai yang mempunyai haiwan seperti Zoo Melaka perlu disediakan, agar pengunjung dapat membersihkan tangan selepas bersentuhan dengan haiwan.

Sambutan Hari Zoonosis Sedunia disambut pada setiap 6 Julai di seluruh dunia dan disambut hari ini di Melaka dalam usaha meningkatkan kesedaran berkaitan pencegahan penyakit zoonosis. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan