AM

WAN AHMAD FAYHSAL DIGANTUNG ENAM BULAN DARI DEWAN RAKYAT MULAI HARI INI - SPEAKER

18/07/2024 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, bermula hari ini.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, selepas usul menggantung beliau dari Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan mendapat sokongan 110 ahli Parlimen manakala 63 tidak bersetuju menerusi undi belah bahagian, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Usul itu dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, susulan tindakan Wan Ahmad Fayhsal yang membangkitkan isu sepucuk surat layang di Dewan Rakyat, kononnya mengenai dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Wan Ahmad Fayhsal berbuat demikian semasa perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan Tahun 2022 pada 1 Julai.

Wan Ahmad Fayhsal turut menamakan individu berkenaan yang dipetiknya daripada surat layang berkenaan, yang merupakan pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Azalina ketika menggulung perbahasan usul itu berkata Ahli Parlimen perlu bertanggungjawab dalam setiap perlakuan dan tidak sewenang-wenangnya merujuk kepada dokumen yang tidak ditentusahkan, seperti surat layang.

“Kalau kita rujuk dokumen sahih, saya yakin kerajaan tidak ada masalah. Salah tetap salah, tetapi jangan kita pakai surat layang kerana kita akan buka floodgate, semua dalam Dewan guna surat layang dan sekarang kita ada SMS, ada AI, tak tahu mana betul mana salah.

“Tanggungjawab kita buat undang-undang, bukan tuduh ikut surat layang...Kalau macam tu, kita duduk kantin berbahaslah tentang surat layang. Kalau kata ada pegawai pembuli di EPF, pergilah kepada SUHAKAM, buatlah laporan polis, tanyalah kepada Menteri yang bertanggungjawab pada EPF, ini amat bahaya,” katanya.

Azalina berkata sekiranya Dewan Rakyat tidak membuat suatu ketetapan, ia akan membuka budaya buruk bagi Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Selain itu, beliau berkata Ahli Parlimen juga tidak seharusnya berkelakuan seolah-olah melebihi undang-undang, kerana mereka juga diundi oleh rakyat. 

“Kalau Machang minta maaf, atau Machang kata ‘Saya mungkin silap, saya dapat (surat), saya tak percaya tapi saya nak tanya betul ke tidak’, itu tiada masalah, you qualify your statement, tapi dia duduk, benda itu viral macam Parlimen pula mengesahkan kepada apa yang Machang cakap,” katanya.

Sementara itu Johari selepas penggulungan itu berkata beliau turut terkesan apabila pegawai kerajaan dihina, apa lagi beliau juga pernah berkhidmat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik sebelum ini.

“Saya sangat beremosi hari ini, kadang-kadang saya tahu di YouTube ini bukan org luar, Ahli Parlimen juga maki saya. Jadi apa salah saya sebab anda semua buat undang-undang, saya tafsir tapi saya kena maki.

“Tetapi saya taklah rasa nak ambil tindakan. Saya boleh sebenarnya ambil tindakan tetapi saya tidak mahu lakukannya sebab saya rasa kita kesemunya sudah matang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan