EKONOMI

PENGELUAR KERETA BOLEH BAWA MASUK LEBIH BANYAK MODEL EV UNTUK PEMASANGAN TEMPATAN

18/07/2024 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Pengeluar kereta tempatan boleh membawa masuk lebih banyak model kenderaan elektrik (EV) untuk pemasangan tempatan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata pengeluar kereta tempatan menghadapi cabaran untuk mengeluarkan EV pada harga yang kompetitif berikutan kos pembangunan teknologi EV adalah tinggi, berbanding teknologi pembangunan kenderaan pembakaran dalaman (ICE) yang telah sekian lama dibangunkan.

“Oleh itu, bagi membantu pengeluar kereta tempatan dapat mengeluarkan EV pada harga yang lebih kompetitif, kerajaan telah menawarkan insentif cukai yang lebih menarik berbanding dengan kenderaan jenis ICE.

“Secara khususnya, BEV (kenderaan elektrik menggunakan bateri) dan FCEV (kenderaan berkuasa hidrogen)  yang dipasang secara tempatan dapat menikmati pengecualian duti import, duti eksais serta cukai jualan sepenuhnya sehingga 31 Dis, 2027,” katanya semasa sesi kamar khas Parlimen, pada Khamis.

Beliau juga berkata EV yang dipasang di Malaysia tidak tertakluk kepada had harga minimum RM100,000 seperti yang dikenakan ke atas EV yang diimport.

Liew berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai usaha mempertingkatkan keupayaan pengeluar kereta tempatan untuk mengeluarkan kenderaan tanpa pelepasan karbon (ZEV) mampu milik untuk rakyat Malaysia.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan