AM

ISU MP BERSATU: SPEAKER BUAT KEPUTUSAN TEPAT, SELARAS PERUNTUKAN PERLEMBAGAAN - PAKAR

18/07/2024 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Selaras dengan kuasa yang diperuntuk di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan tepat apabila mengisytiharkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

Pakar undang-undang Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, yang juga Pemegang Kursi Tunku Abdul Rahman Universiti Malaya, berkata Speaker tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya kerana beliau memiliki budi bicara terkawal dan bukan sekadar mengesahkan kekosongan seperti yang dimaklumkan oleh parti terbabit.

"Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa pemecatan, pembuangan atau penyingkiran daripada parti bukanlah alasan untuk mengosongkan sesuatu kerusi dan Speaker perlu melihat sama ada apa yang sebenarnya berlaku ialah pemecatan dan bukannya berhenti daripada menjadi ahli parti.

"Pandangan peribadi saya dipengaruhi oleh rakan sekerja terutama di Universiti Malaya iaitu Dr Sheila Ramalingam yang telah menulis di dalam kertas kerjanya bahawa tindakan berhenti menjadi ahli parti dianggap sebagai pemberhentian dan sebahagian daripada kebersalahannya adalah terletak di pihak Ahli Parlimen terbabit," katanya dalam temu bual dalam program Bernama World terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Shad Saleem berkata dalam erti kata lain, seseorang Ahli Parlimen terhenti daripada menjadi anggota parti atas tindakannya sendiri seperti tidak membayar yuran, gagal menghadiri mesyuarat, meletak jawatan atau menyertai parti lain. 

"Jadi bila bercakap mengenai penyingkiran daripada parti, itu adalah keputusan parti. Parti akan memberi notis dan akan melakukan siasatan. Ia akan membuang ahli terbabit daripada parti kerana wujud salah laku.

"Dilihat dari sudut ini, nampaknya tindakan Bersatu membatalkan keanggotaan keenam-enam Ahli Parlimen sebenarnya adalah satu penyingkiran atau pemecatan secara konstruktif dan bukannya sekadar kes mereka berhenti menjadi ahli," kata Shad Saleem.

Ditanya mengenai kemungkinan wujud implikasi keputusan Speaker itu terhadap kesetiaan kepada parti dan kestabilan parti politik di negara ini, Shad Saleem berkata beliau tidak percaya bahawa politik atau parti politik boleh menjadi radikal dalam apa jua cara atau terjejas dengan keputusan tersebut.

"Secara peribadi, saya tidak menyokong tindakan lompat parti kerana ia adalah amalan yang tidak bermoral kerana menafikan keputusan pilihan raya. Pada masa sama, saya tidak nampak situasi membabitkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu ini akan menjadi ancaman kepada kewujudan atau fungsi parti politik di Malaysia. Jangan lupa bahawa selama 64 tahun kita tidak mempunyai sebarang undang-undang antilompat parti kerana ia hanya muncul pada 2022," katanya.

Ditanya sama ada wujud duluan bagi menyokong atau menyanggah tindakan Johari, Shad Saleem berkata tidak ada duluan yang dianggap baik dalam hal ini kerana undang-undang antilompat parti agak baharu.

"Undang-undang sangat terbuka dan bagaimana situasi pada masa hadapan bergantung kepada beberapa faktor yang tidak dapat diramal. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menyatakan bahawa beliau sedia mendengar cadangan untuk meminda semula pindaan ini. Dalam erti kata lain, untuk memberikan sedikit panduan kepada apa yang dianggap sebagai berhenti menjadi ahli parti dan apa yang dianggap sebagai penyingkiran. 

"Jadi, jika undang-undang ini dipinda untuk menjadikan ia lebih jelas atau jika ada keputusan kehakiman untuk menjelaskannya maka sudah tentu kita perlu mengikuti undang-undang tersebut," katanya.

Pada 20 Jun lepas, Bersatu menyerahkan notis kepada Johari yang meminta agar keenam-enam kerusi diisytiharkan kosong kerana wakil rakyat terbabit tidak lagi menjadi ahli parti itu. Keenam-enam Ahli Parlimen sebelum itu telah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Notis itu telah dikemuka berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seorang anggota Dewan Rakyat akan berhenti menjadi Ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah dikosongkan apabila beliau berhenti menjadi ahli mana-mana parti politik.

Pada 11 Julai lepas, Johari mengulangi bahawa keputusan berkaitan status bekas enam Ahli Parlimen Bersatu itu adalah kekal kerana kerusi mereka tidak dianggap kosong menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat sebagai tanda protes.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan