JENAYAH & MAHKAMAH

NGO BANTU MOHON KEWARGANEGARAAN DIGESA DAPATKAN LEBIH MAKLUMAT - SAIFUDDIN NASUTION

18/07/2024 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membantu mana-mana individu memohon kewarganegaraan digesa untuk mendapatkan lebih informasi bagi memudahkan proses kelulusan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu anak angkat tanpa  kewarganegaraan dapat diselesaikan segera jika maklumat lanjut terutama mengenai keluarga asal atau ibu kandung kanak-kanak itu diperolehi.

“Saya amat menghargai peranan NGO dalam membantu mendapatkan status kewarganegaraan. (Namun, semua NGO) digesa jangan hanya mendekati ibu dan anak angkat semata-mata tetapi beri maklumat yang lebih, apakah (mereka) masih menghubungi ibu kandung? 

“(Jika dapat) berhubung ibu kandung maka selesai kes ini…saya menghargai usaha NGO, tetapi utamakan dan betul-betul selesaikan masalah bukannya bawa satu isu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat pengesahan kewarganegaraan kepada Muhammad Danish Haiqal Abdul Rahman, 10, di Flat Sri Kelantan di Sentul, di sini hari ini.

Penyerahan itu susulan permohonan yang dibuat oleh ibu angkat kanak-kanak itu Azlina Hamzah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara pada Jun lepas.

Saifuddin Nasution berkata Muhammad Danish Haiqal mempunyai lapan adik-beradik termasuk dirinya yang semuanya diserahkan kepada orang lain dalam keadaan dokumen tidak lengkap.

“Dia dikategorikan anak angkat. Keluarga angkat ada memohon proses anak angkat. Kita ada menghubungi ibu angkat Haiqal, iaitu Azlina Hamzah, sama ada pernah berhubung dengan ibu kandung Haikal. Beliau jawab ada dan pegawai saya pun menghubungi ibu kandungnya yang mana selama ini ibunya pun tidak ada kad pengenalan.

“Jadi pegawai saya kemudian buat proses pendaftaran lewat dan ibunya kini ada kad pengenalan. Jadi bila ibu ada kad pengenalan maka kelapan-lapan adik-beradik Haiqal juga akan bertaraf warganegara,” katanya.

Sebelum ini, tular video oleh sebuah NGO di media sosial berhubung seorang kanak-kanak tanpa kerakyatan (Muhammad Danish Haiqal) dan ibu angkatnya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan