JENAYAH & MAHKAMAH

PENGASUH DIDENDA DAN DIARAH JALANI KHIDMAT MASYARAKAT

18/07/2024 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Bekas pengasuh dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan kerana mendedahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kematian, tiga tahun lepas.

Hakim Dr Azrol Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Low Yu Ning, 38, selepas wanita berkenaan mengaku bersalah mendedahkan kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah di Jalan Danau Kota, Off Jalan Genting Kelang di sini pada 1 petang, 6 Dis 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai 20 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan Low dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan jaminan RM2,000.

Mengikut fakta kes, petugas di Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999)  menerima laporan kematian seorang kanak-kanak perempuan dan kemudian membuat laporan polis.

Sejurus menerima laporan, pihak polis pergi ke lokasi kejadian di sebuah rumah di Danau Kota, dekat sini dan menahan tertuduh.

Siasatan polis mendapati wanita yang bekerja sebagai pengasuh itu semasa kejadian meletakkan mangsa atas kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam sebuah bilik tanpa pengawasan.

Mengambil kira tertuduh adalah individu yang bertanggungjawab ke atas kanak-kanak berkenaan dan tindakan itu mewujudkan situasi yang mungkin boleh mengakibatkan kematian. 

Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh.

Sementara itu, peguam S. Kirthen yang mewakili tertuduh ketika ditemui selepas prosiding  mengesahkan pihaknya mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan pertuduhan ke atas anak guamnya. 

“Pada awalnya anak guam didakwa atas tuduhan menganiaya tetapi AGC meminda pertuduhan kerana tiada kesan pukul direkod dalam laporan kesihatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan