AM

EXPERT 2024 SASAR PEROLEH JUALAN RM1.7 JUTA, 75,000 PENGUNJUNG

19/07/2024 12:27 PM

BUKIT MERTAJAM, 19 Julai (Bernama) -- Ekspo Usahawan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) (EXPERT) 2024 menyasarkan perolehan nilai jualan sebanyak RM1.7 juta dengan kehadiran seramai 75,000 pengunjung sepanjang empat hari program berlangsung dari 26 hingga 29 Sept depan.

Pengerusi PERDA Datuk Shaik Hussein Mydin berkata EXPERT anjuran kali ketiga yang berlangsung di Midtown PERDA, Kubang Menerong, Tasek Gelugor dekat sini, akan melibatkan penyertaan lebih 250 usahawan.

Katanya dengan Bertemakan "inspirasi lokal, transformasi global", EXPERT diteruskan lagi tahun ini selepas pencapaian memberangsangkan pada siri pertama dan kedua masing-masing pada 2022 dan 2023.

"EXPERT diperkenalkan bertujuan menyediakan platform berpusat dan komprehensif untuk usahawan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka khususnya peniaga luar bandar Pulau Pinang.

"Platform ini memberi ruang menyeluruh kepada usahawan yang telah menjalankan perniagaan mahupun baru menceburi bidang keusahawanan, ia selaras dengan objektif kita yang mahu membantu usahawan memperkenal dan mempromosi produk atau perkhidmatan syarikat serta membolehkan setiap usahawan bertemu bagi aktiviti pemadanan perniagaan sekali gus meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Prapelancaran EXPERT 2024 di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) PERDA Noor Hayati Ishak.

Shaik Hussein berkata proses jualan 252 tapak reruai akan mula dibuka Isnin depan (22 Julai) dengan harga antara RM300 hingga RM600 bertempat di PERDA, No. 1, Lorong Kampung Gajah 2, Jalan Kampung Gajah dekat sini, dari 10 pagi hingga 4 petang.

Katanya PERDA juga bekerjasama dengan TikTop Shop dan agensi-agensi pemasaran digital lain bagi membantu usahawan memasarkan produk serta perkhidmatan mereka.

“Terima kasih kepada TikTok Shop dan semua pempengaruh yang akan bersama-sama kita (EXPERT 2024) kerana zaman sekarang ini para usahawan bukan berniaga secara fizikal sahaja, tetapi secara dalam talian untuk memastikan jumlah jualan bertambah.

“Matlamat untuk melahirkan lebih ramai usahawan (Bumiputera dan Melayu) dapat kita (PERDA) realisasikan dalam program EXPERT 2024 ini,” katanya.

Shaik Hussein berkata pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti, pertandingan serta hiburan menarik sepanjang program berlangsung.

Katanya EXPERT 2024 kali ini membabitkan penyertaan 252 reruai pameran termasuk 138 reruai jualan produk usahawan serta pelbagai agensi,  61 khemah masakan panas, sebuah bilik perkhidmatan spa, 12 reruai sektor korporat, lima trak atau bas perkhidmatan dan 10 unit studio live tik tok.

"Memandangkan Pulau Pinang merupakan negeri yang dikenali sebagai syurga makanan, PERDA pada tahun ini mengambil inisiatif untuk mengalakkan lebih ramai usahawan dari bidang makanan untuk terlibat bersama EXPERT 2024.

"EXPERT 2024 juga akan menampilkan dua segmen baharu iaitu reruai makanan EXPERT Food Festival dan EXPERT Live Tik Tok studio. Kami juga tawarkan harga reruai usahawan serendah RM300 sepanjang empat hari program berlangsung kerana mahu memastikan usahawan tidak terbeban dengan harga tapak yang mahal," katanya.

Selain gerai pameran produk keusahawan Bumiputera tempatan dan luar bandar, turut diadakan antaranya Jualan Agro MADANI, Forum Seminar Usahawan Mahasiswa, Malam Selawat @ Expert Tahun 2024, Cat Grooming Show, Kejohanan Pickleball, PERDA Robotic Challenge, Pushbike Rakan Litar, Street Soccer, Kids Fashionista, larian ria, karnival kerjaya, Jualan Rahmah, dan permainan elektronik.

Perdana Menteri Datuk Seri  Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan majlis perasmian EXPERT 2024.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan