EKONOMI

THETA EDGE BERHAD TERIMA ANUGERAH SUSTAINABILITY & CSR MALAYSIA 2024

19/07/2024 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Syarikat peneraju penyediaan solusi teknologi dan telekomunikasi Theta Edge Berhad (Theta) menerima Anugerah Community Care and Digitalisation Initiatives bagi kategori Syarikat Terbaik (Teknologi Maklumat dan Komunikasi - ICT) di Majlis Anugerah Sustainability & CSR Malaysia 2024, semalam. 

Ketua Audit Dalaman dan Tadbir Urus, Risiko, Pematuhan dan  Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Eanis Azman Latif mewakili Theta untuk menerima anugerah itu pada majlis berkenaan.

Anugerah anjuran CSR Malaysia iaitu badan kebangsaan untuk kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan memberi penghormatan kepada syarikat di negara ini yang memainkan peranan cemerlang sebagai ejen perubahan dalam transformasi sosioekonomi dan alam sekitar.  

"Anugerah berprestij ini mengiktiraf aspirasi Theta untuk terus meningkatkan pembangunan sosioekonomi di Malaysia menerusi CSR #thetaCares yang memberi manfaat kepada pelajar. 

"Ini selaras dengan komitmen #thetaCares bagi mengimbangi keuntungan dan pelaburan sosial menerusi komitmen Theta ke arah penyediaan pendidikan, peningkatan taraf hidup komuniti dan celik kewangan serta pelaksanaan inisiatif kelestarian dan aktiviti dermawan untuk komuniti kurang bernasib baik di seluruh negara," menurut kenyataan Theta. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Datuk Nuraslina Zainal Abidin menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan kepada pasukan yang berdedikasi dalam mendekati golongan paling memerlukan bantuan menerusi pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kualtiti hidup mereka. 

"Dedikasi Theta dalam memelihara kelestarian dan menggalakkan penglibatan komuniti adalah sebahagian daripada teras operasi kami. Melalui inisiatif #thetaCares, Theta memanfaatkan penggunaan teknologi dalam merapatkan jurang digital serta meningkatkan taraf sosial, selaras dengan aspirasi kelestarian global," katanya. 

Theta juga berharap inisiatif #thetaCares membolehkan golongan pelajar kurang berkemampuan memperoleh akses digital lebih baik bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan lebih berkualiti sekali gus meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan memupuk celik digital. 

Selain itu, Theta berharap pengagihan 986 komputer di sekolah di Malaysia dapat memenuhi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran dalam bilik darjah, memudah cara kerja kursus terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta memudahkan pelajar melakukan aktiviti berkaitan ICT. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan