EKONOMI

UNTUNG BERSIH CIMB THAI SUSUT 5.4 PERATUS TAHUN KE TAHUN KEPADA 1.29 BILION BAHT

19/07/2024 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- CIMB Thai Bank PCL, anak syarikat tidak langsung 94.83 peratus milik CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan penurunan sebanyak 5.4 peratus dalam keuntungan bersihnya tahun ke tahun kepada 1.29 bilion baht (100 baht = RM12.89) pada setengah tahun pertama berakhir 30 Jun, 2024.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Thai Paul Wong Chee Kin berkata penurunan itu disebabkan terutamanya oleh penguncupan 1.7 peratus dalam pendapatan operasi, dan peningkatan 7.7 peratus dalam perbelanjaan operasi, sebahagiannya diimbangi oleh penurunan 22.7 peratus dalam jangkaan kerugian kredit.

Pada asas tahun ke tahun, beliau berkata pendapatan operasi disatukan CIMB Thai Group jatuh 1.7 peratus kepada 7.04 bilion baht daripada yuran bersih dan pendapatan perkhidmatan yang lebih rendah sebanyak 28.3 juta baht, disebabkan oleh perbelanjaan yuran dan perkhidmatan yang lebih tinggi, dan penurunan 2.9 peratus dalam pendapatan faedah bersih.

"Pendapatan operasi lain meningkat 49.6 juta baht, naik 3.1 peratus, didorong oleh keuntungan bersih ke atas instrumen kewangan yang diukur pada nilai saksama melalui untung atau rugi dan sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan yang lebih rendah daripada penjualan pinjaman tidak berbayar," katanya.

Perbelanjaan operasi meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun kepada 312 juta baht terutamanya daripada kerugian rosot nilai yang lebih tinggi ke atas hartanah untuk dijual serta cukai dan duti, tetapi sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan pekerja yang lebih rendah.

"Margin faedah bersih ke atas aset perolehan berjumlah 2.2 peratus pada separuh pertama 2024, berbanding 2.7 peratus pada separuh pertama 2023, hasil daripada kos dana yang lebih tinggi," katanya.

Sehingga 30 Jun, 2024, jumlah pinjaman kasar (termasuk pinjaman yang dijamin oleh bank lain dan pinjaman kepada institusi kewangan) berjumlah 251.4 bilion baht, meningkat 2.6 peratus daripada 31 Dis, 2023.

Deposit (termasuk bil pertukaran, debentur dan produk deposit berstruktur terpilih) berjumlah 316.1 bilion baht, meningkat 1.8 peratus daripada 310.4 bilion baht pada akhir Disember 2023.

Pinjaman tidak berbayar (NPL) kasar berjumlah 7.5 bilion baht dengan nisbah NPL kasar bersamaan yang lebih rendah 2.9 peratus berbanding 3.3 peratus pada 31 Disember, 2023.

"Nisbah NPL yang lebih rendah disebabkan terutamanya oleh penjualan beberapa NPL pada 2024, peningkatan dalam kecekapan dasar pengurusan risiko dan pengurusan kualiti aset, serta proses kutipan pinjaman," katanya.

Wong berkata nisbah perlindungan kerugian pinjaman CIMB Thai berada pada 129.1 peratus pada 30 Jun, 2024, berbanding 124.2 peratus pada akhir Disember, 2023.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan