POLITIK

KEDUDUKAN ADUN REMBIA AKAN DITENTUKAN SPEAKER MELAKA

19/07/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis sebagai penyandang di kawasan itu serta status kekosongan kerusi kawasan berkenaan akan ditentukan Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata  Speaker DUN juga  akan meneliti dakwaan wakil rakyat itu telah menyertai PAS berpandukan undang-undang dan enakmen kerajaan negeri.

“Selepas speaker terima surat rasmi daripada Muhammad Jailani, kita akan bincang perkara itu di peringkat negeri  sebelum membuat keputusan.

"... kita juga akan lihat tindakan susulan sekiranya ada perkara yang boleh kita bangkitkan serta sama ada boleh diambil tindakan undang-undang atau sebagainya," katanya pada sidang media di Bilik Bunga Raya, Hotel Seri Pacific, di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan Muhammad Jailani menyertai PAS tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri Melaka kerana ia melibatkan tambahan hanya seorang ADUN kepada blok pembangkang menjadikan jumlahnya seramai tiga orang daripada 28 kerusi DUN.

Pada masa yang sama, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka berkata tindakan terhadap Muhammad Jailani sebagai aggota parti akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dalam masa terdekat berdasarkan undang-undang dan aku janji pernah ditandatanganinya sebelum ini semasa menjadi calon Barisan Nasional pada Plihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Beliau perlu menanggung segala kos ganti rugi yang diberikan kepada calon atas nama parti dengan jumlah kos yang diambil kira munasabah," katanya.

Ditanya sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan di DUN itu, Ab Rauf berkata pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Mengulas mengenai dakwaan Muhammad Jailani bahawa seolah-olah digantung tidak bertali walaupun pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin UMNO memohon untuk memecat keahliannya, beliau berkata parti berhak menjalankan tugas.

"Apabila parti ambil tindakan dalam tempoh digantung keahlian, sepatutnya kita ikut etika parti supaya dapat baiki kesalahan apa sebabkan ia digantung.

"Jadi kalau sikap tidak menampakkan sealiran dengan parti, maka parti juga berhak menjalankan tugas sebagai pentadbir wakil rakyat parti ini dengan memberikan amaran serta tidak lagi beri kemudahan wakil rakyat berlandaskan aku janji tadi. 

Selasa lepas, Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Bangunan Parlimen mengesahkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO telah diterima menjadi ahli PAS pada 10 Jun 2023.

Takiyuddin mendakwa tindakan Muhammad Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti memandangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas ADUN Rembia itu menyertai PAS.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin UMNO bertarikh 28 Ogos tahun lepas, Muhammad Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana sengaja hadir ke majlis pengumuman calon PN bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan