JENAYAH & MAHKAMAH

REMAN COO SYARIKAT KONSESI LEBUH RAYA DISAMBUNG TIGA HARI - SPRM

19/07/2024 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran untuk menyambung reman Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya yang ditahan Isnin lalu kerana disyaki menerima rasuah melebihi RM300,000.

Suspek ditahan bagi siastaan membabitkan pembinaan satu projek lebuh raya bernilai kira-kira RM6 bilion di Lembah Klang.

Menurut sumber, perintah sambung reman selama tiga hari mulai esok sehingga Isnin ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya susulan tempoh asal reman suspek tamat hari ini.

Menurut sumber berkenaan, suspek seorang lelaki berusia sekitar 50-an itu ditahan jam 8 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

"Siasatan awal mendapati suspek menerima rasuah melebihi RM300,000 daripada pemilik-pemilik syarikat bagi pembinaan satu projek lebuh raya  di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM6 bilion,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika mengesahkan sambungan tempoh reman itu berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan