JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ TAHAN PEMANDU BAS PERSIARAN POSITIF GANJA

20/07/2024 03:15 PM

ALOR SETAR, 20 Julai (Bernama) -- Seorang pemandu bas persiaran ditahan selepas didapati positif terhadap ganja dalam Ops Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan selepas diarahkan menjalani saringan air kencing dengan dibantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika operasi di Plaza Tol Hutan Kampung (arah Utara), kira-kira 4 pagi tadi.

“Ketika itu, pemandu terbabit yang membawa 42 penumpang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Thailand. Dia juga didapati ada beberapa rekod lampau berkaitan dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, manakala bas persiaran berkenaan telah meneruskan perjalanan dengan menggunakan khidmat pemandu kedua.

Dalam operasi bermula semalam, sebanyak 1,116 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 138 kenderaan telah diambil tindakan manakala 329 notis dikeluarkan atas kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya.

Stien berkata tiga motosikal dan sebuah bas turut disita manakala enam bas ekspres dikenakan tindakan selaras dengan kehendak Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Beliau berkata antara kesalahan di bawah JPJ yang dikesan ialah tiada lesen kenderaan, lesen kenderaan tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, kesalahan teknikal dan tiada insurans.

Kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) pula melibatkan tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong dan tidak menggunakan kenderaan pelancongan yang dilesenkan.

“JPJ memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu terutama pemandu kenderaan pelancongan dan perkhidmatan awam yang melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

“Tindakan ini kita (JPJ) lakukan bukan untuk menyusahkan orang awam, tetapi demi memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan dan kadar kematian di jalan raya menurun, di samping keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain terjamin, kita akan teruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan