DUNIA

WARGA SINGAPURA DINASIHAT TANGGUH PERJALANAN TIDAK PENTING KE BANGLADESH

20/07/2024 11:28 PM

SINGAPURA, 20 Julai (Bernama) -- Warga Singapura dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan tidak penting ke Bangladesh kerana situasi kekal tidak menentu susulan protes pelajar yang mengorbankan banyak nyawa di negara itu.

Kementerian Luar (MFA) Singapura turut menasihatkan warga Singapura di Bangladesh supaya sentiasa berwaspada, mengurangkan perjalanan keluar dari rumah, memantau berita tempatan dengan teliti dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Warga Singapura juga digalakkan untuk mendaftar secara dalam talian dengan MFA di https://eregister.mfa.gov.sg jika belum berbuat demikian,” kata MFA dalam nasihat perjalanan untuk Bangladesh, pada Sabtu.

Warga Singapura di Bangladesh yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi republik di negara itu atau pejabat petugas 24 jam MFA di Singapura.

Kerajaan Bangladesh telah menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.

Perkhidmatan Internet, rangkaian data mudah alih, dan perkhidmatan pengangkutan awam telah terganggu.

Menurut laporan, protes minggu ini terhadap sistem kuota pekerjaan awam antara penunjuk perasaan pelajar dan polis telah mengakibatkan lebih 100 nyawa terkorban.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan