AM

GOLDEN MELON FELDA SUNGAI TENGI SELATAN GAH TEMBUSI TEMBOK PASAR RAYA BESAR

21/07/2024 12:59 PM

CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Berpegang kepada peribahasa berbudi kepada tanah, tanah tidak menipu, menjadi resepi kepada kejayaan generasi peneroka Felda Sungai Tenggi Selatan, Hulu Selangor mengusahakan tanaman golden melon, sehingga membolehkan hasilnya memasuki beberapa cawangan pasar raya besar dan pasar borong negara.

Penyelaras projek Suhairi Hussin, 36, berkata lebih membanggakan ialah apabila projek fertagasi melon yang menghasilkan buah bulat berkulit kuning dengan isi berwarna putih itu berjaya memenuhi syarat dan kualiti ditetapkan pengurusan pasar raya besar.

Beliau berkata projek yang dilaksanakan di bawah program Felda bagi menghasilkan produk berkualiti dengan permintaan tinggi di pasaran itu bertujuan meningkatkan pendapatan golongan peneroka, dan sehingga kini 139 peneroka Felda Sungai Tengi Selatan memperoleh dividen sehingga RM3,000 seorang. 

"Kami mengusahakan tanaman golden melon di 33 rumah hijau yang dibangunkan di kawasan tanah seluas lebih empat hektar menggunakan teknologi sistem Airhydro Watering dengan benih dibawa masuk dari Thailand, mengambil kira kualiti buah yang dihasilkan serta kos.

"Tanaman golden melon dipilih kerana walaupun buah ini mendapat permintaan meluas di pasar raya, namun masih kurang yang mengusahakannya dalam skala besar, selain tempoh menunggu hasil tidak terlalu lama iaitu sekitar 65 hari. Ini membolehkan kami menuai hasil empat kali setahun," katanya semasa ditemui di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di sini hari ini. 

Suhairi berkata sebuah rumah hijau dapat memuatkan 2,400 pokok yang dapat mengeluarkan antara 1.5 hingga 2 tan buah yang dijual pada harga ladang antara RM6 ke RM8 sekilogram, manakala harga di pasaran boleh mencecah belasan ringgit sekilogram. 

Sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang hari ini, beliau berkata mereka membawa lebih setengah tan golden melon yang ditawarkan pada harga istimewa RM10 sebiji di Reruai Negeri Selangor, bagi mempromosikan buah yang mempunyai rasa manis dan lebih rangup jika dibandingkan dengan tembikai susu. 

Walaupun ramai yang mengagumi kebolehkan petani muda itu memecah tembok pasar raya besar dalam tempoh singkat, beliau mengakui bahawa mereka sebenarnya juga bimbang sekiranya tidak mampu memenuhi syarat yang ditetapkan kerana tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang bukan mudah diperoleh. 

"Antara syaratnya ialah kami perlu membekalkan dua tan buah... mendengar syarat begitu agak menakutkan buat kami, kerana kami risau jika tuaian tidak mencukupi, tetapi Alhamdulillah, perancangan rapi termasuk jadual menanam benih membolehkan kami menuai hasil setiap minggu supaya bekalan sentiasa ada," katanya. 

Suhairi berkata mereka memilih teknologi system Airhydro Watering berbanding kaedah tanaman secara tradisional, kaedah itu lebih berhasil untuk mendapatkan kualiti buah yang lebih baik, selain tidak begitu rumit, dan tidak memerlukan tenaga kerja yang begitu ramai. 

Pelaksanaan projek fertigasi golden melon itu dkendalikan oleh 14 belia berusia antara 21 dan 30 tahun, semuanya generasi peneroka, yang antara lain terlibat memantau proses pembajaan setiap hari, manakala proses menyembur racun perosak dilakukan secara berkala. 

Suhairi berkata susulan kejayaan projek tanaman itu, mereka kini menyasarkan untuk menembusi pasaran luar negara, dengan sasaran awal Singapura tahun depan.

"Mungkin ramai yang melihat pertanian sebagai pekerjaan memenatkan, sedangkan ia tidak benar sama sekali. Apabila dilakukan secara serius dan dengan perancangan rapi dan bantuan peralatan moden serta ilmu yang betul, ia sebenarnya mendatangkan hasil yang baik dan berbaloi dengan setiap keringat dikeluarkan," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan