AM

PROSES DAFTAR MASUK GUNA KIOSK LAYAN DIRI DI KLIA TERMINAL 2 LANCAR

21/07/2024 05:51 PM

SEPANG, 21 Julai (Bernama) -- Proses mendaftar masuk penumpang menggunakan kios daftar masuk layan diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA Terminal 2) berjalan lancar seperti biasa dan tiada kesesakan.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati petugas syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia sentiasa berada di balai berlepas bagi membantu orang ramai menggunakan kios daftar masuk layan diri bagi mendapatkan pas masuk penerbangan domestik dan antarabangsa mereka.

Keberadaan petugas AirAsia itu bagi membantu orang ramai sekiranya berhadapan sebarang masalah semasa menggunakan kios daftar masuk layan diri yang ditempatkan di beberapa lokasi di balai berlepas KLIA Terminal 2.

Langkah itu diambil susulan gangguan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) global yang menjejaskan operasi lapangan terbang di seluruh dunia termasuk Malaysia pada Jumaat lepas.

Semalam Bernama melaporkan AirAsia menyambung semula operasi daftar masuk dalam talian pada 2 petang selepas syarikat penerbangan itu dilanda kegawatan akibat gangguan berkenaan sejak petang Jumaat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Syarikat Penerbangan AirAsia) Datuk Kapten Chester Voo dilaporkan berkata AirAsia akan terus memantau keadaan dan menempatkan petugasnya di balai berlepas bagi membantu penumpang yang  berhadapan sebarang masalah berkaitan penerbangan.

Sementara itu, penumpang Mohd Haris Halil yang akan menaiki pesawat ke Nanning, China atas urusan kerja berkata beliau melakukan daftar masuk sendiri menggunakan kiosk berkenaan dan tidak menghadapi sebarang masalah.

“Setakat ini tak ada apa-apa masalah, semuanya berjalan lancar. Saya nampak KLIA (Terminal 2) hari ini tidak sesak. Semua kakitangan AirAsia juga sangat membantu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Haris berkata beliau mengambil langkah untuk datang awal ke lapangan terbang seperti disarankan syarikat penerbangan walaupun menetap di ibu negara.

Seorang tutor, Norashikin Jumad, 42, pula berkata proses daftar masuk menggunakan kios daftar masuk layan diri berjalan lancar dan amat memuaskan setakat ini.

“Alhamdulillah, proses berjalan macam biasa. Memang saya datang awal sebab risau lepas dengar macam-macam, saya daftar sendiri dekat kiosk dan tidak hadapi sebarang masalah,” katanya yang akan menaiki penerbangan ke Kuching untuk mendaftar kemasukan anaknya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada AirAsia kerana mengambil langkah menempatkan petugasnya di balai berlepas bagi membantu penumpang.

“Saya nampak ramai petugas AirAsia, mereka sentiasa bersiap sedia di situ (balai berlepas) untuk bantu lancarkan proses,” katanya.

Pada Jumaat lepas, institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas oleh gangguan IT global.

Kegagalan itu dikaitkan dengan kesilapan firma keselamatan siber global CrowdStrike Holdings Inc, sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika berpangkalan di Austin, Texas, yang menyediakan perlindungan titik akhir, perisikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan