DUNIA

GANGGUAN IT JEJAS 8.5 JUTA PERANTI WINDOWS - MICROSOFT

21/07/2024 01:13 PM

BERLIN, 21 Julai (Bernama-dpa) -- Sekitar 8.5 juta peranti Windows terjejas oleh kemas kini perisian yang menyebabkan gangguan meluas di seluruh dunia, menurut gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Microsoft, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ini mewakili kurang satu peratus daripada semua komputer Windows, kata syarikat itu dalam blognya.

Walaupun begitu, kesan ekonomi dan sosial yang meluas menunjukkan betapa banyak syarikat yang menjalankan perkhidmatan penting menggunakan penyedia perisian CrowdStrike.

Gangguan sistem IT itu menyebabkan gangguan besar di seluruh dunia pada Jumaat, hampir melumpuhkan trafik udara di banyak tempat.

Pasar raya, bank, hospital, stesen televisyen dan institusi lain turut terjejas.

CrowdStrike menyebut kemas kini perisian untuk komputer Windows sebagai punca. Firma itu mengisytiharkan isu itu selesai pada petang Jumaat, tetapi beberapa kesan masih dirasai selepas itu.

Menurut Persatuan Lapangan Terbang Jerman, trafik udara di Jerman sebahagian besarnya telah kembali normal pada masa ini.

Pejabat Keselamatan Maklumat Persekutuan (BSI) berkata pada petang Sabtu bahawa keadaan sedang stabil di banyak kawasan, tetapi banyak syarikat terus berdepan kesan gangguan itu.

"Belum dapat dipastikan secara muktamad bagaimana kod yang rosak itu masuk ke dalam kemas kini CrowdStrike. BSI juga dalam komunikasi intensif dengan syarikat itu mengenai perkara ini," kata pejabat itu.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan