AM

PROGRAM JOW DIPERLUAS KE SEMENANJUNG - KULASEGARAN

21/07/2024 03:15 PM

IPOH, 21 Julai (Bernama) -- Jabatan Bantuan Guaman memperluas program Justice On Wheels (JoW) ke Semenanjung bagi memberi kefahaman dan membantu golongan B40 dalam menyelesaikan masalah melibatkan hal perundangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata program pertama JoW di Semenanjung akan dilaksanakan di Negeri Sembilan pada akhir bulan ini dan akan bergerak ke lokasi lain yang difikirkan bersesuaian serta mendapat permintaan daripada orang ramai.

“JoW telah dimulakan di Sabah dan Sarawak pada awal Januari lepas. Berdasarkan permintaan yang tinggi, kita buat keputusan untuk luaskan program ini ke Semenanjung dan kita mulakan di Negeri Sembilan, selepas itu mungkin di Perak dan tempat-tempat lain.

“Daripada dapatan kita, permasalahan yang berlaku banyak membabitkan hal harta pusaka dan kebanyakan daripada penduduk tidak mempunyai akses untuk menyelesaikannya. Jadi, platform JoW ini dilihat mampu untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang turut dihadiri lebih 500 pengunjung di AEON BiG Falim di sini hari ini.

Pada 25 Jan lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan JoW bukan sahaja melibatkan perkhidmatan kaunter bergerak menggunakan van yang memberi bantuan kepada masyarakat berhubung isu perundangan, tetapi juga berfungsi menyebar luas maklumat berkaitan undang-undang negara.

Kulasegaran berkata sejak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, program berkenaan berjaya memberi khidmat nasihat guaman kepada 358 pelanggan sejak Januari hingga akhir bulan lepas.

Mengulas program hari ini, beliau berkata 13 jabatan, agensi serta badan bukan kerajaan menyertai Program Hari Bertemu Pelanggan (BHEUU) antaranya Jabatan Bantuan Guaman Perak, Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang bertujuan mempromosi bidang tugas masing-masing kepada umum.

Beliau berkata ia juga merupakan usaha BHEUU bagi membuka ruang selain memberi kefahaman kepada orang ramai berkaitan dasar kerajaan, akta, prosedur serta garis panduan tertentu yang melibatkan bidang tugas jabatan dan agensi terlibat.

“Harapan kita agar penganjuran ini dapat memanfaatkan semua golongan selain dilihat mampu menjadi pemudah cara kepada semua agensi dan jabatan mendekati rakyat,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan