AM

JEMAAH MENTERI AKAN PUTUSKAN LANGKAH, TINDAKAN KECAM ISRAEL SELARI KEPUTUSAN ICJ - PM

21/07/2024 06:01 PM

CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) --  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu, akan membuat keputusan untuk langkah dan tindakan negara dalam mengecam Israel, yang selari dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau berkata perkara itu berikutan ICJ memutuskan bahawa aktiviti penempatan Israel di Wilayah Palestin melanggar undang-undang antarabangsa.

“Malaysia tentunya mendukung keputusan ICJ dan keputusan itu berdasarkan fakta yang jelas tentang keganasan dan kekejaman Israel yang berterusan.

“Oleh itu, kita akan meneliti cadangan dan kesan daripada tindakan keputusan ICJ itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di Cyber Event Hall, di sini hari ini.

Pada 19 Julai, Presiden ICJ Nawaf Salam dilapor berkata mahkamah itu telah mengesahkan bidang kuasanya untuk mengeluarkan pendapat nasihat mengenai akibat undang-undang pendudukan Israel di Wilayah Palestin, dengan menyatakan bahawa ia mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai perkara itu.

Dasar penempatan Israel tidak mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, kata Salam kepada mahkamah dan menurutnya aktiviti penempatan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa terus berkembang.

“Pendudukan Israel di Wilayah Palestin ialah pengilhakan de facto, yang melanggar hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” kata Salam seperti yang dilaporkan media antarabangsa.

ICJ di The Hague, Belanda mengadakan pendengaran dari 19 hingga 26 Feb mengenai kesan perundangan terhadap pendudukan Israel di Wilayah Palestin, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Semasa mesyuarat itu, lebih daripada 50 negara dan tiga organisasi antarabangsa - Liga Negara-Negara Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam dan Kesatuan Afrika - membincangkan isu itu.

Delegasi Palestin menggesa mahkamah untuk mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayahnya sebagai tidak sah, kerana ia boleh menjadi harapan terakhir untuk penyelesaian dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan