JENAYAH & MAHKAMAH

REMAJA CEDERA DIPUKUL ANGKARA TELEFON BIMBIT

21/07/2024 07:30 PM

KUANTAN, 21 Julai (Bernama) -- Polis menahan tiga pelajar sekolah di sekitar bandar Raub semalam kerana disyaki terlibat memukul seorang remaja lelaki hingga cedera, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abd Rahman berkata mangsa berusia 14 tahun yang telah menerima 40 jahitan di bahagian kepala telah membuat laporan pada 11.18 pagi semalam dan mendakwa dipukul tiga remaja lelaki dikenalinya itu sekitar 10.15 malam di Taman Sempalit Aman, Raub.  

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila tiga remaja berusia lingkungan 16 hingga 17 tahun itu tidak berpuas hati dengan mangsa kerana tidak menggantikan semula telefon bimbit baharu yang telah dirosakkan oleh adik lelakinya secara tidak sengaja beberapa minggu lepas. 

"Mangsa mendakwa dipukul menggunakan tangan sebelum dia terjatuh ke dalam longkang. Usaha mengesan saksi kejadian sedang dijalankan untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Mohd Shahril berkata tiga pelajar itu direman dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah. 

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Raub menerusi talian 09-3552 222. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan