AM

WASPADA ANCAMAN PANCINGAN SUSULAN GANGGUAN GLOBAL CROWDSTRIKE- CSM

21/07/2024 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- CyberSecurity Malaysia (CSM) mengeluarkan amaran kepada pengguna dan organisasi untuk sentiasa berhati-hati selepas isu gangguan global CrowdStrike baru-baru ini kerana penjenayah siber mungkin melancarkan serangan seperti pancingan atau phishing

CSM dalam hantaran menerusi Facebook hari ini memaklumkan semua pihak perlu berhati-hati dalam menerima panggilan tidak dikenali, e-mel pancingan data, laman web pancingan data atau mesej yang meminta memuat turun kemas kini perisian atau menyediakan akses jarak jauh untuk baik pulih komputer berikutan gangguan global itu. 

“Pengguna dan pentadbir sistem juga dinasihatkan mengambil langkah waspada seperti menyekat domain berbahaya dengan proksi, menapis spam dan mekanisme keselamatan untuk mencegah sebarang pancingan dan ancaman, selain melaksanakan pemantauan berterusan untuk segera mengesan dan menyelesaikan isu. 

“Organisasi juga dinasihatkan agar menggunakan produk tempatan yang disahkan untuk sistem kritikal, selain menguji kemas kini perisian dengan teliti dalam persekitaran yang menyerupai sasaran penyebaran untuk mengesan masalah awal,” maklum agensi itu dalam hantaran berkenaan.

Pada masa yang sama CSM menasihati pengguna supaya sentiasa mengamalkan amalan terbaik bagi pengguna Internet dengan sentiasa mengesahkan e-mel mencurigakan dan pautan sebelum klik atau muat turun terutama daripada pengirim tidak dikenali. 

“Periksa nama domain pautan dalam e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) untuk memastikan kesahihan. Layang tetikus untuk sahkan ia menuju pelokasi sumber seragam (URL) yang betul. 

“Pastikan komunikasi daripada sumber rasmi dan berwaspada terhadap pancingan yang berpura-pura sebagai CrowdStrike atau entiti dipercayai lain,” menurut hantaran itu. 

CSM turut menggesa orang ramai untuk melaporkan transaksi bank yang mencurigakan segera kepada hotline bank 24 jam seminggu atau hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dalam 24 jam. 

Pada Jumaat, media melaporkan institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara terjejas akibat gangguan teruk teknologi maklumat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan