POLITIK

BN-PH FOKUS LAKSANA ‘PENYASARAN MIKRO' DI PRK NENGGIRI - ASYRAF WAJDI

22/07/2024 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Penyelarasan Barisan Nasional (BN) - Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini memutuskan untuk melaksanakan ‘penyasaran mikro’ bagi setiap pengundi di DUN tersebut.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata mesyuarat itu juga bersetuju untuk tidak terlalu fokus kepada program ceramah umum atau mega seperti dilaksanakan pada siri PRK yang lepas.

“Sebab itulah kita berbincang tadi untuk mengenal pasti ahli dan penyokong kita. BN ada senarai kita dan PH pun ada senarai mereka dan kita akan gabungkan supaya dapat menumpukan kepada semua pengundi-pengundi Nenggiri tanpa terlepas walaupun seorang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan BN-PH bagi PRK DUN Nenggiri di Menara Dato Onn di sini hari ini

Turut menghadiri mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari yang juga   Pengarah Operasi Pilihan Raya PH Kelantan dan Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta wakil-wakil daripada BN dan PH Kelantan.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN akan melancarkan jentera pilihan raya BN Nenggiri pada 29 Julai ini di Pusat Operasi BN, Gua Musang, jam 2.30 petang. 

Mengenai penglibatan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC dalam membantu PRK kali ini, beliau berkata semua parti komponen akan terlibat. 

“Semangat BN dan PH bila timbul pilihan raya, dia akan rasa tanggungjawab bersama,” katanya. 

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan