SUKAN

TIGA PASUKAN WORLD TEAM HANGATKAN SAINGAN LTDL 2024

22/07/2024 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 29 Sept hingga 6 Okt ini bakal dihangatkan dengan kehadiran tiga pasukan bertaraf World Team.

Tiga pasukan itu ialah EF Education–EasyPost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan Team (Kazakhstan) dan Team DSM–Firmenich PostNL dari Belanda sekali gus menyaksikan peningkatan berbanding dua penyertaan pasukan bertaraf World Team pada tahun lepas.

EF Education–EasyPost dan Astana Qazaqstan mengambil bahagian pada edisi lepas. 

“Dari segi kuota penyertaan untuk edisi kali ini, telah memenuhi kuota kategori ProSeries di luar Eropah untuk 10 pasukan jemputan melibatkan tiga pasukan World Team dan tujuh Pro Team, ini bermakna penambahan satu lagi World Team untuk tahun 2024 berbanding hanya dua World Team pada tahun lalu.

“Ini merupakan kejayaan bersama di peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam penganjuran acara berstatus ProSeries ini,” kata Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub pada sidang media pengumuman pasukan yang bertanding di LTdL 2024 di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata tiga pasukan World Team itu masing-masing berjaya meraih kejayaan tersendiri pada saingan perlumbaan berprestij Tour de France baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata antara tujuh pasukan Pro Team yang akan mengambil bahagian ialah pasukan yang berpangkalan di Sepanyol Team Polti Kometa, Tudor Pro Cycling Team (Switzerland), VF Group-Bardiani CSF- Faizane (Itali) dan Equipo Kern Pharma dari Sepanyol.

Melengkapkan penyertaan ialah sembilan pasukan bertaraf benua antaranya Terengganu Cycling Team dan Malaysia Pro Cycling Team serta tiga pasukan kebangsaan iaitu Malaysia, Thailand dan Filipina sekali gus menjadikan keseluruhan 22 pasukan yang akan bersaing pada edisi ke-28 kali ini.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata MSN selaku penganjur LTdL 2024 akan memperkenalkan acara kayuhan istimewa untuk peminat setia LTdL iaitu Domestique By Petronas LTdL 2024 pada 28 Sept.

Katanya antara keistimewaan acara kayuhan itu ialah peserta dapat menikmati suasana sebenar perlumbaan LTdL dengan berkayuh di laluan peringkat satu LTdL 2024 sejauh 96.5 kilometer (km) mengelilingi Pulau Langkawi, selain majlis penyampaian hadiah akan dilakukan di podium LTdL 2024.

“Acara ini memang diperkenalkan sebagaimana penganjuran L’Etape by Tour de France dan Ride Like A Pro by Giro d’Italia yang begitu popular di seluruh dunia,” katanya.

Selain itu, katanya penganjur akan turut memberikan slot kepada pemenang empat kategori utama dan empat pemenang cabutan bertuah untuk mengikuti perlumbaan dalam satu daripada peringkat LTdL 2024 di Semenanjung.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalil berkata laluan peringkat keempat perlumbaan yang menampilkan pendakian di Bukit Fraser akan diubah selepas menerima nasihat daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Baru-baru ini kita ada permintaan dari UCI selepas ada kes kematian ekoran kemalangan di Austria dan kemalangan besar di France tempoh hari, laluan turun bukit mungkin kita akan skip sebab berbahaya untuk perlumbaan…jadi laluan itu naik sampai The Gap kemudian turun ke bandar Bentong,” katanya.

Edisi ke-28 perlumbaan berbasikal paling berprestij di benua Asia itu menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan buat julung kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,227.2 km.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan