DUNIA

ASEAN HASRAT BENTUK PAKATAN PERDAGANGAN DENGAN MAJLIS KERJASAMA TELUK

22/07/2024 05:17 PM

JAKARTA, 22 Julai (Bernama-VNA) -- ASEAN baru-baru ini memberi petunjuk bahawa mereka mungkin akan cuba untuk mencapai pakatan perdagangan dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ketika ASEAN berusaha meningkatkan perdagangan dengan rakan kongsi di luar rantau ini.

Perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara kedua-dua blok itu berkemungkinan besar akan berlaku, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn kepada media pada Jumaat lepas.

“Terdapat permintaan daripada GCC untuk mengadakan FTA dengan kami. Saya rasa mereka yakin ingin bekerjasama dengan ASEAN, dan ini adalah perkembangan positif,” kata Kao yang dipetik oleh media tempatan di Jakarta.

ASEAN dan GCC telah bersetuju mengenai satu dokumen rangka kerja yang menggariskan cara mereka boleh memperkukuh kerjasama dalam tahun-tahun akan datang. Kedua-dua pihak sedang mengadakan konsultasi lanjut, antara lain, mengenai pembangunan "perjanjian rangka kerja" mengenai kerjasama ekonomi, katanya.

Kao tidak menyatakan bila rundingan sebenar akan bermula. Namun, beliau menekankan bahawa ini adalah acara penting, yang mewujudkan asas bagi kerjasama perdagangan GCC-ASEAN untuk berkembang pada masa akan datang, membuka peluang untuk kedua-dua blok itu.

Menurut ketua ASEAN, ASEAN dan GCC mengadakan sidang kemuncak pertama mereka di Riyadh tahun lepas. Pada persidangan itu, beberapa pemimpin negara ASEAN seperti Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membincangkan kemungkinan mempromosikan rangka kerja perdagangan antara kedua-dua blok.

Agensi Berita negara Arab Saudi Al Arabiya melaporkan pada Oktober lepas bahawa perdagangan ASEAN-GCC melebihi 110 bilion USD. GCC merangkumi Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA-VNA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan