JENAYAH & MAHKAMAH

PEMBANTU KEDAI DIDAKWA MILIKI SENJATA TIRUAN

22/07/2024 03:58 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Julai (Bernama) -- Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki senjata tiruan, minggu lepas.

Zul Eizman Syafeeq Suhainin, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood. 

Selain minta dibicarakan, lelaki tersebut turut mendakwa dia mengalami masalah mental dan memohon untuk menerima rawatan di Hospital Tampin, Negeri Sembilan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dalam milikannya selaras pistol tiruan di dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Ladang Sehat di sini, kira-kira pukul 1.30 petang pada 18 Julai lepas.

Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan dia akan dihantar ke hospital apabila terdapat kekosongan tempat serta menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu tertuduh turut didakwa atas tuduhan memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam badannya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Terengganu pada lebih kurang 2.30 petang, pada tarikh sama. 

Pendakwaan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan menjalani pengawasan polis sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan. 

Noor Mazrinie membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 September untuk sebutan semula kes serta laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh diwakili peguam Azlina Jaafar.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan