AM

JAKOA HADKAN KEMASUKAN KENDERAAN PACUAN EMPAT RODA KE KAWASAN PEDALAMAN ORANG ASLI

22/07/2024 04:51 PM

GUA MUSANG, 22 Julai (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengehadkan kemasukan kenderaan pacuan empat roda kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk ke kawasan pedalaman Orang Asli terutamanya pada musim tengkujuh dan jika berlaku serangan haiwan liar.

Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Nor berkata JAKOA akan mengeluarkan pemakluman khas menjelang musim tengkujuh dalam usaha mengelak berlaku kerosakan jalan.

"JAKOA tidak menghalang kemasukan NGO ke kawasan pedalaman Orang Asli, namun hanya mengehadkan kemasukan. Kami menggalakkan kemasukan kerana kita tahu NGO-NGO banyak membantu dalam menyelesaikan isu yang tidak dapat ditangani contohnya daripada segi bantuan perubatan.

"Berdasarkan cuaca tidak menentu, JAKOA akan mengeluarkan arahan berkaitan kemasukan kerana pada musim tengkujuh banyak jalan-jalan rosak sekali gus mengganggu penghantaran bantuan kesihatan dan pendidikan," katanya kepada pemberita di Kuala Betis, di sini hari ini.

Sapiah berkata sekiranya terdapat bantuan yang ingin disalurkan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman, pihak NGO boleh menyalurkan bantuan melalui JAKOA, seterusnya mereka akan menghantarnya mengikut susunan jadual.

"Sekiranya kawasan tidak boleh dimasuki menggunakan jalan darat, kita akan meminta bantuan helikopter bagi membolehkan barangan dihantar seperti kita lakukan setiap tahun.

"Permohonan masuk ke kampung Orang Asli untuk program Tanggungjawab Sosial Korporat perlu dikemukakan dalam tempoh sebulan atau sekurang-kurangnya dua minggu sebelum program," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan