AM

FAZURA PERKENAL KOLEKSI TUDUNG, ZAHIR JIWA MERDEKA

22/07/2024 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Mahu menyebarkan semangat patriotik, pelakon dan usahawan Nur Fazura Sharifuddin menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan Ogos ini dengan koleksi tudung yang berlambangkan identiti negara.

Menerusi koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura, beliau menampilkan 12 rekaan unik, antaranya berinspirasikan warna Jalur Gemilang, motif bunga raya dan bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas.

"Kita nak menyemarakkan lagi jiwa merdeka dalam hati semua rakyat Malaysia, terutama orang muda serta kembangkan lagi outreach pemakaian yang melambangkan jiwa patriotik," katanya pada sidang media bersempena dengan pelancaran koleksi tersebut yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, di sini hari ini. 

Pelakon filem Gol dan Gincu itu berkata koleksi yang dihasilkan dengan kerjasama Kelab Prospec Kementerian Pendidikan Malaysia tersebut, direka teliti bagi memastikan pemilihan warna dan corak menyerlahkan tema, namun pada masa sama mampu memenuhi cita rasa si pemakai. 

Katanya, koleksi yang mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disiapkan itu juga boleh digayakan oleh sesiapa sahaja mengikut kreativiti masing-masing dan tidak terhad kepada golongan muslimah.

"Kita sebagai rakyat Malaysia berbangga dengan negara kita yang majmuk, yang berbilang kaum sentiasa menyokong dan memahami perbezaan agama dan budaya.

 “Sebenarnya banyak juga pelancong yang beli tudung jenama saya sebelum ini untuk dipakai sebagai selendang, turban atau dibeli sebagai hadiah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan