EKONOMI

EVERSENDAI, EMIRATES STEEL BENTUK KERJASAMA STRATEGIK UNTUK PROJEK NEOM, ARAB SAUDI

22/07/2024 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Eversendai Corporation Bhd bekerjasama dengan Emirates Steel, bagi membangunkan projek NEOM Trojena Ski Village, iaitu sebahagian daripada projek mega NEOM, di Arab Saudi.

Emirates Steel merupakan syarikat di bawah Emirates Steel Arkan Group, di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Timbalan Pengarah Urusan kumpulan Eversendai Narishnath Nathan berkata pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Emirates Steel dalam projek NEOM Trojena Ski Village, sebuah projek mercu tanda,  yang akan mempamerkan keupayaan syarikat itu sebagai pemain pembinaan keluli bertaraf dunia.

"Kerjasama ini akan menyerlahkan komitmen kami melepasi sempadan kejuruteraan dan pembinaan.

"NEOM Trojena Ski Village pula bersedia menjadi destinasi global utama, menawarkan pengalaman rekreasi yang tiada tandingan di rantau ini," katanya.

Sementara itu, Emirates Steel akan membekalkan rasuk keluli premium untuk pembinaan Ski Village berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Emirates Steel Saeed Alghafri berkata beliau berbesar hati dapat bekerjasama dengan Eversendai dalam projek NEOM, projek berprofil tinggi di Arab Saudi itu.

"Emirates Steel komited untuk membekalkan penyelesaian keluli mampan penanda aras yang memenuhi permintaan ketat projek pembinaan inovatif.

"Kerjasama ini menunjukkan matlamat kami untuk memacu pertumbuhan yang mampan di seluruh Majlis Kerjasama Teluk dan menyampaikan nilai kepada rakan kongsi dan pemegang kepentingan kami," kata Saeed.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan