AM

DRAF RANCANGAN TEMPATAN PSI AKAN DIHASILKAN SELEPAS PROGRAM PUBLISITI AWAL - PIC

22/07/2024 09:09 PM

GEORGE TOWN, 22 Julai (Bernama) -- Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (JPBD) akan menghasilkan draf Rancangan Tempatan Penang South Island 2050 (RTPSI 2050) selepas selesai program publisiti awal RTPSI 2050 yang bermula hari ini sehingga 29 Julai 2024.

 Penang Infrastructure Corporation (PIC), syarikat tujuan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek itu memaklumkan bahawa satu program publisiti dan penyertaan awam akan dijalankan untuk mendapatkan pandangan serta maklum balas semua pihak berkepentingan bagi menghasilkan dokumen rancangan tempatan terbaik. 

"Program publisiti awal yang bermula hari ini pula bertujuan untuk mendapatkan pandangan, idea dan cadangan daripada semua lapisan masyarakat dan komuniti dalam usaha menghasilkan satu rancangan pembangunan yang pintar, mampan dan berdaya tahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye berkata rancangan tempatan merupakan dokumen rujukan utama hala tuju aspek kawalan perancangan dan pembangunan sesuatu kawasan yang merupakan dokumen rancangan pemajuan hierarki peringkat ketiga di dalam kerangka rancangan pembangunan negara.

Beliau menjelaskan penyediaan RTPSI 2050 merupakan antara platform utama dan langkah pragmatik kerajaan negeri sebagai inisiatif untuk mencorakkan pembangunan baharu atas kawasan tebus guna tanah berdasarkan kawalan pembangunan bersesuaian serta selaras dengan senario semasa di negeri itu. 

“Pendekatan kajian yang dirangka adalah sedikit berbeza berbanding penyediaan kajian rancangan tempatan lain di Malaysia kerana ini adalah kali pertama RTPSI 2050 disediakan berasaskan pembangunan pintar, berdaya tahan, kesejahteraan dan kelestarian," katanya.

H’ng berkata keperluan penyediaan RTSPI 2050 melibatkan dua perkara utama iaitu aspek keperluan perundangan dan perancangan kerana ia tertakluk kepada peruntukan perundangan Seksyen 12 hingga Seksyen 16B, Akta 172.

Beliau memaklumkan dokumen tersebut harus mengandungi peta-peta cadangan dan pernyataan bertulis yang akan disokong dengan garis panduan pelaksanaan sekali gus berperanan sebagai rujukan terperinci segala cadangan-cadangan pihak berkuasa perancang tempatan untuk pemajuan serta penggunaan di atas tanahnya. 

Projek Pulau Pinang Selatan yang kini dikenali sebagai Silicon Island untuk Pulau A meliputi keluasan 2,300 ekar tanah ditebus guna dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan pemilik projek yang bertanggungjawab untuk memastikan ia berada dalam satu pelan pembangunan yang sah di bawah perundangan sedia ada.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan