DUNIA

JANGAN BIAR SESUATU ISU DIPOLITIKKAN HINGGA CEMARI HUBUNGAN SINGAPURA-MALAYSIA - LEE

22/07/2024 11:41 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 22 Julai (Bernama) -- Singapura dan Malaysia tidak boleh membiarkan sesuatu isu dipolitikkan dan dimainkan, atau meracuni hubungan keseluruhan antara kedua-dua negara, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong.

Menurut Lee, ini boleh menjadikan keadaan lebih sukar dan merosakkan kedua-dua belah pihak.

Beliau berkata selama bertahun-tahun, Singapura dan Malaysia telah berhadapan dengan isu-isu yang lebih sukar dan sensitif seperti bekalan air, pengurusan ruang udara dan persempadanan maritim, yang beliau jangkakan akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

"Tetapi secara keseluruhannya, kedua-dua belah pihak telah mencapai kemajuan yang ketara dalam hubungan kita selama beberapa dekad. Kita harus menghargai betapa susahnya dan bernilai kemajuan ini -baik perkara-perkara khusus yang telah kita capai, mahupun keadaan baik keseluruhan hubungan kita. Ia sama sekali tidak boleh dipandang remeh," kata Lee.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Kelab Perniagaan Kuala Lumpur pada Ahad sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Malaysia. Transkrip ucapannya disediakan di laman web Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Lee berkata Singapura dan Malaysia berkongsi hubungan yang rapat tetapi sememangnya kompleks. Oleh itu, pemimpin dan kedua-dua kerajaan perlu mengambil perspektif strategik dan menguruskan isu dengan teliti dan sensitif dari sudut pandangan keseluruhan hubungan.

Beliau menyatakan bahawa tiga isu lama memerlukan kerja keras dan perbincangan serius untuk mengenal pasti pendekatan yang boleh dilaksanakan dan tahan lama, menguruskan isu-isu yang berterusan, dan menampung kepentingan penting masing-masing.

"Ini adalah tugas yang sukar, tetapi walaupun dengan tugas yang sukar seperti ini, adalah mungkin untuk mencari cara yang membina untuk membuat kemajuan bersama, seperti yang kami lakukan dengan Pedra Branca dan Tanah KTM.

"Begitu juga dengan air apabila kami membuat perjanjian untuk membina Empangan Linggiu, yang telah memberi manfaat kepada kedua-dua negara selama hampir 30 tahun," katanya, sambil menambah bahawa terdapat keperluan untuk mengambil kira sentimen politik domestik yang sering menjadikan isu-isu ini lebih kompleks dan sensitif.

Lee berkata bahawa walaupun hubungan itu sensitif dan kompleks, kedua-dua belah pihak tahu bahawa mereka perlu bekerjasama kerana tiada alternatif untuk kedua-dua pihak.

Menyatakan kepuasannya dengan hubungan Malaysia-Singapura, Lee berkata beliau gembira bahawa pada peringkat tertinggi kedua-dua belah pihak, Malaysia dan Singapura secara amnya dapat melihat gambaran besar dan telah membuat kemajuan yang baik, walaupun mereka tidak selalu bersetuju mengenai setiap isu.

Lee berkata bahawa beliau menikmati hubungan baik dengan banyak pemimpin Malaysia, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gembira bahawa pada masa peralihan di Singapura ini, hubungan dua hala adalah stabil dan positif.

Beliau yakin bahawa Perdana Menteri Lawrence Wong akan bekerjasama dengan perdana menteri Malaysia untuk memajukan kerjasama itu, dan akan melakukan segala yang beliau boleh dalam peranan baharunya sebagai Menteri Kanan untuk mengukuhkan lagi hubungan dan membantu menjalin hubungan baharu antara kedua-dua negara.

Singapura, katanya mahu mengembangkan hubungan dua hala dan mengekalkan hubungan politik yang stabil dan mesra, untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif.

"Semakin stabil suasana politik, semakin mudah bagi ahli perniagaan untuk beroperasi tanpa perlu risau tentang cuaca. Semakin banyak kedua-dua negara kita dapat mengekalkan perkara-perkara positif dan stabil, dan semakin sedikit turun naik politik, semakin banyak rakyat kita akan mendapat manfaat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan