AM

KETEPIKAN PERASAAN MALAS BELAJAR KUNCI KEJAYAAN PELAJAR CEMERLANG STPM

23/07/2024 04:39 PM

KUCHING, 23 Julai (Bernama) -- Usaha gigih tidak pernah mengkhianati hasil, itulah kata Alya Athirah Asfia, pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023 yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Mengakui hampir berputus asa pada semester kedua, Alya bangkit semula dengan mengubah minda serta memaksa diri belajar setiap hari dengan bangun pada tengah malam.

“Kunci kejayaan adalah memaksa diri untuk belajar setiap hari walaupun kadang-kadang rasa malas datang menyapa, kalau rasa malas, rehat sekejap.

"Sebenarnya saya terkejut boleh memperolehi PNGK 4.00, sasaran saya hanya 3.50 ke atas sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan STPM di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Alya berkata beliau berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam aliran sejarah di Universiti Malaya.

Sementara itu, Bryan Tan Jun Liang yang turut memperoleh PNGK 4.00 menyatakan bahawa mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif menjadi cabaran utama sepanjang pengajian dan memerlukan beliau berusaha lebih untuk menguasai subjek itu.

“Jika ada yang tidak faham, saya akan cari guru untuk bertanya sehingga benar-benar faham. Pada semester ketiga, akhirnya usaha saya membuahkan hasil dengan keputusan yang agak baik,” katanya dengan rasa syukur.

Bryan berkata kerana minat yang mendalam dalam bidang kewangan dia memilih Universiti Malaysia Sarawak sebagai pilihan utama untuk melanjutkan pelajarannya.

Di Sarawak, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Dr Azhar Ahmad mengumumkan seramai 88 calon berjaya mencapai PNGK 4.00 manakala 1,910 orang calon memperoleh PNGK 3.00 hingga 3.99.

Selain itu, seorang lagi pelajar terbaik iaitu Muhammad Nazif Adham Ahmadie dalam kategori istimewa fizikal yang juga berjaya memperolehi PNGK 4.00 telah dijemput menerima anugerah di Majlis Peperiksaan Malaysia hari ini.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan