EKONOMI

SEWA PEJABAT UTAMA DI KL DIUNJUR POSITIF BAGI 12 BULAN AKAN DATANG

23/07/2024 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Perunding hartanah global Knight Frank menggambarkan "unjuran yang positif" untuk sewa pejabat utama di Kuala Lumpur dalam tempoh 12 bulan akan datang, menurut Indeks Sewaan Pejabat Utama Asia Pasifik (APAC) bagi suku kedua 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata data menunjukkan kenaikan sewa sebanyak 2.6 peratus tahun ke tahun (y-o-y), berserta kenaikan suku tahunan sebanyak 0.2 peratus, yang mencerminkan "prospek pasaran yang stabil dan sihat."

"Unjuran ini mencadangkan bahawa pasaran sewa pejabat di Kuala Lumpur dijangka kekal stabil, mencerminkan persekitaran yang seimbang dan kestabilan ini adalah tanda positif bagi pelabur dan perniagaan yang mencari kesinambungan dalam membuat keputusan untuk hartanah mereka," katanya.

Pengarah Eksekutif Strategi dan Penyelesaian Pejabat Knight Frank Malaysia Teh Young Khean berkata bersama-sama dengan beberapa pejabat utama yang disewa dalam subpasaran pinggir Kuala Lumpur, kadar sewa dan penghunian dijangka meningkat, menunjukkan prospek positif untuk pasaran.

“Kami terus melihat pertanyaan untuk menyewa yang banyak dan aktif, termasuk sektor-sektor seperti teknologi, perkhidmatan profesional, insurans, perkhidmatan perniagaan global, minyak dan gas, serta perbankan dan kewangan,” kata Teh.

Mengenai peringkat serantau, Knight Frank berkata data menunjukkan penurunan sebanyak 3.1 peratus tahun ke tahun dalam sewa pejabat utama, sedikit peningkatan daripada penurunan sebanyak 3.2 peratus pada suku pertama 2024.

Menurut firma perunding hartanah tersebut, walaupun trend menurun berlanjutan selama lapan suku berturut-turut, tetapi "sedikit kestabilan" ini mencadangkan bahawa sektor pejabat serantau mungkin sedang menghampiri titik perubahan di tengah-tengah cabaran yang berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan