AM

BIZMATCH MEGA PKNS: PLATFORM USAHAWAN PERKUKUH, KEMBANGKAN RANGKAIAN PERNIAGAAN

23/07/2024 09:08 PM

SHAH ALAM, 23 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menganjurkan Program Bizmatch Mega PKNS: Himpunan Usahawan Selangor 2024 yang menjadi platform terbaik untuk para usahawan memperkukuhkan rangkaian perniagaan mereka.

Edisi kedua program di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS yang menghimpunkan 1,500 usahawan dalam pelbagai bidang perniagaan itu memberi peluang kepada peserta bertemu dan berinteraksi secara terus bersama lebih 30 agensi terpilih meliputi kewangan dan keusahawanan yang mampu menyokong pembangunan perniagaan mereka pada masa hadapan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon berkata program berskala besar itu boleh menjadi titik mula dalam merancakkan lagi pertumbuhan perniagaan di Selangor selain menambah baik kemudahan keusahawanan yang ada di negeri itu, khususnya yang ditawarkan oleh PKNS.

"Program ini bertujuan membantu agensi keusahawanan Selangor di dalam menyalurkan segala informasi dan kemudahan yang boleh ditawarkan kepada usahawan, selain menjadi wakil kepada agensi-agensi keusahawanan yang ada di negeri ini bagi memusatkan peluang perkembangan perniagaan usahawan Selangor.

"Inisiatif PKNS ini adalah sebagai salah satu langkah membantu kerajaan negeri di dalam memacu pertumbuhan usahawan di Selangor ke tahap lebih tinggi," katanya semasa berucap pada program berkenaan yang dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Mohd Najwan Halimi di sini hari ini.

Antara agensi kewangan yang terlibat dalam program hari ini ialah Agro Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), CIMB, MBSB Bank Berhad, RHB Bank, TEKUN, Yayasan Hijrah, MIDF, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

Agensi keusahawanan yang yang turut serta pula ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Ko Hijrah Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), PERKESO, SME Corp, Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Menteri Besar Selangor (Incorporated) MBI.

Suhaimi berkata PKNS komited memastikan usahawan di bawah bimbingan agensi itu mendapat akses kepada peluang-peluang penting yang boleh membantu memajukan perniagaan masing-masing melalui program pengukuhan rangkaian jaringan rakan niaga dan kolaborasi dengan agensi- agensi kewangan serta keusahawanan yang berkemampuan tinggi.

Dalam hal itu, beliau berharap para usahawan yang menyertai program itu dapat mencari peluang dan ruang mendapat input mengenai kemudahan yang ditawarkan kepada mereka seperti kemudahan peminjaman, geran, program keusahawanan dan kemudahan lain yang disediakan oleh setiap agensi yang dibawakan oleh PKNS pada program berkenaan.

“Gunakanlah platform ini untuk bertemu serta berinteraksi secara terus dengan agensi-agensi ini dan juga rakan usahawan lain.

“Dapatkanlah seberapa banyak maklumat, peluang, sokongan serta pandangan yang boleh dimanfaatkan dalam membantu membangunkan perniagaan pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan