DUNIA

PERINTAH BERKURUNG, PEMADAMAN INTERNET, RONDAAN TENTERA DITERUSKAN DI BANGLADESH

23/07/2024 11:12 PM

DHAKA, 23 Julai (Bernama-Anadolu) -- Perintah berkurung, pemadaman Internet dan rondaan tentera diteruskan pada Selasa untuk meredakan kekacauan yang telah meragut sekurang-kurangnya 187 nyawa di seluruh Bangladesh berhubung pembaharuan dalam pekerjaan awam.

Dalam arahan baharu, kerajaan telah melanjutkan perintah berkurung sehingga Khamis, menurut laporan Agensi Anadolu. Perintah berkurung dikenakan bersama dengan penempatan tentera, pada malam Jumaat lepas.

Selaras dengan keputusan mahkamah tertinggi, kerajaan mengeluarkan pemberitahuan warta pada malam Isnin yang mengurangkan kuota kepada tujuh peratus daripada 56 peratus dalam pekerjaan awam.

Pelajar yang membantah, yang memberikan tempoh 48 jam untuk memulihkan keadaan, berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka akan memberi respons kepada kerajaan selepas keadaan pulih.

Protes pelajar bertukar ganas selepas polis dan anggota parti pemerintah Awami League didakwa melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan minggu lepas.

Inspektor pos polis Hospital Kolej Perubatan Dhaka Md Bachchu Mia, memberitahu Anadolu bahawa secara purata 70 hingga 80 pelajar dan orang awam dimasukkan ke hospital setiap hari sejak Selasa lalu.

Sekurang-kurangnya 187 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera sejak Selasa minggu lepas. Daripada jumlah itu, 13 meninggal dunia di hospital pada Isnin, lapor akhbar nasional Prothom Alo pada Selasa.

Sementara itu, pemimpin perniagaan, semasa mesyuarat dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina pada Isnin, menyifatkan pemotongan perkhidmatan Internet sepenuhnya boleh melumpuhkan perniagaan.

Mereka menyatakan sokongan kepada perdana menteri dan menuntut pemulihan segera perkhidmatan digital itu.

Dilaporkan bahawa perdana menteri, bagaimanapun, berkata perintah berkurung dan pemadaman Internet akan diteruskan sehingga keadaan bertambah baik.

Protes meningkat di Asia Selatan sejak minggu lepas terhadap sistem kuota 56 peratus, dengan kerajaan menutup institusi pendidikan sebagai respons kepada kekacauan itu.

Sebanyak 30 peratus daripada 56 peratus kuota dalam pekerjaan awam diperuntukkan kepada saudara-mara veteran perang kemerdekaan.

Bagaimanapun, mahkamah tertinggi negara itu pada Ahad mengarahkan kerajaan mengurangkan kuota kepada tujuh peratus, termasuk lima peratus untuk keturunan veteran perang.

Disebabkan pemadaman Internet sejak Khamis lepas, aliran maklumat dari Bangladesh telah berkurangan manakala kebanyakan media tempatan tidak dapat mengemas kini laman web mereka.

Perkhidmatan Internet jalur lebar dijangka dipulihkan pada malam Selasa.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan