AM

UNIVERSITI KYUSHU, SARAWAK JALIN KERJASAMA MENGENAI INISIATIF KARBON

24/07/2024 03:08 PM

KUCHING, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan National University Corporation Kyushu University dari Jepun bagi mempermudah kerjasama dua hala untuk aktiviti penyelidikan hutan.

Dalam satu kenyataan hari ini, JHS memaklumkan MoU itu dimeterai di Fukuoka, Jepun pada semalam dan perjanjian ini melibatkan kerjasama penilaian fungsi ekosistem hutan di bawah inisiatif karbon hutan di Sarawak.

“Ia bertujuan memudahkan perkongsian pengetahuan dan kemahiran antaranya melalui pembinaan kapasiti, latihan untuk program pertukaran pegawai dan pelajar, analisis data bersama dan peningkatan analisis saintifik serta peningkatan kecekapan penyelidikan," menurut kenyataan itu.

Dekan universiti berkenaan Prof Dr Miki Nakao berkata kerjasama itu merintis laluan untuk memenuhi komitmen bagi memudahkan inisiatif karbon hutan Sarawak.

“Sebagai sebuah universiti kami komited menyediakan pengetahuan saintifik yang diperlukan untuk membuat dasar dan percaya kerjasama dengan kerajaan Sarawak ini bakal memberi sumbangan besar kepada usaha ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata JHS dan universiti berkongsi matlamat sama untuk mengukuhkan, mempromosikan dan membangunkan kerjasama projek mengenai kesamaan serta faedah bersama.

“Perkongsian ini menggariskan komitmen bersama kami untuk menangani cabaran alam sekitar global melalui penyelidikan, pendidikan dan amalan mampan,” katanya.

Universiti itu turut menganjurkan simposium yang menyaksikan enam kertas kerja dibentangkan termasuk oleh JHS yang menyentuh dasar hutan kerajaan Sarawak dan tadbir urus yang baik serta Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 mengenai kelestarian hutan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan