EKONOMI

Industri Takaful Agih Rm2.24 Bilion, Bayaran Naik 4.9 Peratus

24/07/2024 03:33 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kalangan pengendali industri takaful mengagihkan sebanyak RM2.24 bilion dalam suku pertama 2024 dengan pembayaran takaful keluarga berjumlah RM1.72 bilion manakala RM514 juta untuk takaful, kata Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Radzuan Mohamed berkata jumlah bayaran takaful keluarga dan takaful am itu meningkat sebanyak 4.9 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ini merangkumi masing-masing jumlah bayaran bersih manfaat takaful keluarga yang menokok 2.5 peratus manakala bayaran tuntutan takaful am naik 13.6 peratus.

“Jika dibandingkan aliran dalam suku pertama tahun ini dan tahun lepas, kami dapati keadaan telah pulih apabila individu kembali melakukan kunjungan dan menerima rawatan di hospital yang sebelum ini tertangguh,” katanya kepada Bernama.

Mengulas aliran bagi separuh pertama tahun ini, Mohd Radzuan berkata walaupun usaha pengambilan takaful terus meningkat, masih banyak yang perlu dilakukan dari segi celik kewangan jika berlaku kecemasan atau keadaan di luar jangka.

“Walaupun pengambilan meningkat, wujud tanggapan bahawa insurans dan takaful ini bukanlah keutamaan.

“Berikutan itu, langganan takaful lazimnya yang pertama sekali ditamatkan apabila individu menghadapi masalah atau jika merancang percutian,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Radzuan berkata lebih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi menarik kalangan daripada kategori 40 peratus kumpulan isi rumah terendah (B40), termasuk pekerja gig yang kekurangan perlindungan insurans atau takaful.

Beliau berkata penembusan takaful mencatat 20 peratus manakala insurans konvensional pada 40 peratus.

Laporan sebelum ini menyatakan MTA menyasarkan untuk menggandakan penembusan takaful kepada 40 peratus dalam tempoh empat tahun berbanding paras semasa 20 peratus di bawah Pelan Strategik Hijrah 2027.

“Kami kini beralih kepada Hijrah27, pelan strategik bagi 2024-2027 yang bermatlamat untuk mentransformasi industri ini susulan kejayaan Islah23 yang menumpukan usaha memperbaharui sektor itu,” katanya.

Mohd Radzuan berkata Hijrah27 yang sedang dalam proses diteliti dan dimuktamadkan, dijadual dilancarkan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan