AM

SUNTIK SEMANGAT PATRIOTISME DI STADIUM MERDEKA BERMULA 17 OGOS INI

24/07/2024 03:20 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Ibarat kembali ke masa silam. 

Demikian perasaan penulis ketika melangkah masuk ke Stadium Merdeka di sini, yang telah selesai dibaik pulih dan bakal dibuka semula kepada umum 17 Ogos ini, bersempena dengan Bulan Kebangsaan. 

Persekitaran terkini stadium itu membolehkan penulis membayangkan suasana ketika laungan keramat "Merdeka!" oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bergema buat kali pertama pada 31 Ogos 1957.

Menurut Ketua Komunikasi PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd Liza Karim, usaha membaik pulih stadium yang menjadi saksi bendera Union Jack diturunkan - simbolik berakhirnya penjajahan British - itu bermula pada pada 2017 dan kini siap sepenuhnya, mengembalikan keadaan Stadium Merdeka seperti asal.    

“Menelan kos RM2 juta, antara kerja yang dilakukan adalah mengalihkan teres tempat duduk tambahan yang dipasang semasa Sukan SEA 1989, sekali gus mengembalikan kapasiti asal iaitu 20,000 tempat duduk.

“Kerja lain termasuk pembinaan semula papan paparan, memulihkan jubin lantai di pintu masuk utama serta baik pulih lampu stadium,” katanya kepada Bernama semasa lawatan media ke stadium itu baru-baru ini.

pic-2

Katanya, kerja-kerja baik pulih itu dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Warisan Negara.

“Boleh dikatakan hampir 100 peratus sama dengan  keadaan asal bagi membolehkan pengunjung merasai aura Stadium Merdeka yang asli.

"Antara cabaran sepanjang proses konservasi ini adalah kekurangan kepakaran, bahan binaan yang bersesuaian serta tenaga kerja mahir. Misalnya, ada bahagian jubin ini perlu ditempah khas kerana jenis seperti ini tidak lagi digunakan dalam pembinaan zaman sekarang,” kata beliau.

Katanya, acara pertama yang akan diadakan selepas pembukaan rasmi stadium itu adalah perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor, membabitkan pasukan Selangor menentang Singapura pada 17 Ogos ini. 

“Selepas itu, suasana stadium akan dihidupkan dengan penganjuran aktiviti secara bulanan, antaranya bazar jualan, acara sukan, program riadah, konsert, muzik, kebudayaan dan pendidikan yang bakal menjadikan lokasi bersejarah ini sebagai tempat tumpuan pelancong,” katanya yang mempelawa orang ramai berkunjung ke Stadium Merdeka bagi menyemarakkan semangat patriotik.

pic-3

Terletak kira-kira 600 meter dari Menara Merdeka 118 yang kini menjadi latar tapak warisan itu, Stadium Merdeka mudah diakses menerusi pengangkutan awam termasuk Transit Aliran Massa (MRT - Stesen Merdeka).

Usaha membaik pulih stadium itu dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad menerusi anak syarikatnya PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd yang menubuhkan Merdeka Heritage Trust pada 2006 bagi tujuan memulihara dan mengurus Stadium Merdeka.

Projek baik pulih itu turut mendapat kerjasama Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara. Usaha berkenaan mendapat anugerah kecemerlangan daripada Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. 

Stadium Merdeka yang dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu, mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun. Seterusnya stadium ini menjadi lokasi Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, diikuti pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan